PUTRAJAYA: Gesaan kumpulan Mogok Doktor Malaysia untuk meletak jawatan beramai-ramai bermula semalam, disokong beberapa doktor kontrak dan ada yang menyatakan sudah berbuat demikian sebelum kempen itu dilancarkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang doktor gigi kontrak, Ashvinaa Jeyabalan berkata, beliau tidak lagi percaya masa depan kerjayanya dengan Kementerian Kesihatan menjanjikan kedudukan lebih baik.
Walaupun peletakan jawatannya tidak secara langsung terkait dengan gesaan kumpulan mogok itu, tindakan tersebut demi membina karier yang lebih terjamin dengan memilih sektor swasta.
Beliau yang sudah berkhidmat selama tiga tahun memberitahu, sebagai seorang doktor gigi di Kementerian Kesihatan, mereka perlu melakukan banyak tugas lain yang tidak ada kena mengena dengan bidang penjagaan kesihatan dan rawatan.
“Pada asalnya saya mahu menyambung tempoh kontrak dua tahun lagi untuk jawatan tetap, tetapi saya mendapat tawaran lebih baik di sektor swasta, jadi saya ambil keputusan untuk tidak menghadiri temuduga bagi jawatan tetap itu,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Ashvinaa berkata, beliau sebelum ini ada membuat permohonan untuk diletakkan di bahagian pakar, namun pihak pengurusan memberitahu langkah itu perlu tunggu masa lebih lama untuk menyertainya.
“Situasi saya mungkin tidak seburuk kumpulan doktor kontrak lain seperti perubatan am, farmasi dan sebagainya, masing-masing mempunyai masalah tersendiri di bawah status kontrak,” katanya.
Menerusi satu hantaran di Instagram akaun @mogokdoktormalaysia, mereka mendakwa lebih 8,000 doktor kontrak akan mengadakan protes dengan mengambil cuti perubatan atau kecemasan secara beramai-ramai sebagai menentang sistem tidak adil dan gaji di paras rendah.
Sementara itu, jurucakap Hartal Doktor Kontrak memberitahu, pihaknya tidak ada kaitan dengan kumpulan Mogok Doktor Malaysia dan tidak mengetahui siapa di belakang kumpulan ini.
Pada masa sama, pihaknya tidak pasti sejauh mana kesahihan gesaan peletakan jawatan doktor kontrak beramai-ramai.
“Tindakan protes ini, kami anggap hak individu. Sebagai doktor yang matang mereka tahu apa tindakan yang terbaik supaya suara mereka dapat didengar,” katanya. – UTUSAN









