Curang adalah penderaan emosi, boleh mohon cerai - Utusan Malaysia

Curang adalah penderaan emosi, boleh mohon cerai

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Undang-undang Keluarga Islam memberi ruang untuk sesuatu permohonan perceraian dilakukan atas alasan penderaan emosi.

Antara contoh penderaan emosi atau penganiayaan yang sering berlaku ialah apabila suami mengutamakan atau memberi layanan kepada wanita lain melebihi isteri sendiri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, terdapat dua peruntukan berkaitan iaitu permohonan perceraian talak di bawah Seksyen 47 dan tuntutan fasakh di bawah Seksyen 52.

Seksyen 52(1)(h) (i) memperuntukkan secara khusus berkaitan penganiayaan pasa­ngan (bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suami­nya, mengikut mana-mana ber­kenaan, iaitu antara lain – secara lazim menyakitinya atau menjadikan kehidupannya mende­rita disebabkan oleh kelakuan aniaya).

“Dalam Kes Hairun lwn. Omar (1991) 8 JH 289 – Jawatankuasa Rayuan dalam kes tersebut memberi tafsiran lebih luas terhadap maksud penganiayaan atau dharar yang mana ia bukan hanya terhad kepada pengania­yaan fizikal atau badan.

“Malah ia lebih luas termasuk enggan bercakap dengan isteri, membelakangkan isteri atau memalingkan muka daripadanya semasa di katil, mengutamakan atau memberi layanan kepada perempuan lain daripada isteri, memukul dengan pukulan yang menyakiti (tidak disyaratkan pukulan itu dilakukan berulang kali dan lazim),” katanya.

Beliau yang juga bekas Ketua Hakim Syarie berkata, pende­raan emosi lebih bahaya daripada fizikal jika tidak ditangani lebih awal iaitu merupakan perlakuan dharar, yang memudaratkan pasangan dalam perkahwinan.

Kata beliau, penderaan emosi atau fizikal adalah kes yang sama seriusnya kerana ia melibatkan dharar atau kezaliman ke atas individu yang sepatutnya tidak berlaku dan ditegah oleh syarak.

Jelasnya, penderaan emosi atau mental difahami sebagai sebarang bentuk perilaku yang melibatkan kejadian seperti pe­ngasingan atau pemulauan dan penyisihan ke atas mana-mana individu.

Bentuk perlakuan itu katanya, secara sengaja dan sedar, strategik dan terancang, serangan secara lisan yang berterusan, sebarang penghinaan dan intimidasi atau apa-apa perilaku lain yang boleh mendatangkan perasaan kerendahan moral dan kehila­ngan maruah keperibadian dan identiti, serta harga diri pada individu tertentu atau sesiapa sahaja.

“Sebagai contoh di dalam kes Sharimah bt. Muhammad lwn. Ahmad Burhanuddin bin Abdullah (2007), isteri dalam kes tersebut mengalami tekanan emosi dan mental yang berat sehingga dia memerlukan rawatan pakar akibat perbuatan curang suaminya.

“Mahkamah syariah sentiasa mengambil pendekatan bahawa apa-apa dharar sama ada fizikal atau mental adalah sesuatu yang serius,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, mahkamah syariah menilai sesuatu aduan berkaitan dharar berdasarkan pembuktian yang dikemukakan dalam perbicaraan perceraian (biasanya fasakh).

Katanya, hukum dan undang-undang keterangan syariah sedia ada menetapkan standard tertentu bagi pembuktian.

Jelas beliau, penderaan emosi berkait dengan ‘kecederaan’ psikologi seseorang yang biasanya hanya boleh dibuktikan melalui keterangan pakar.

“Penderaan emosi itu bukan sahaja tidak kelihatan pada pandangan mata kasar tetapi juga tidak memberi sebarang impak dan kesan secara jelas jika dibandingkan dengan penderaan fizikal.

“Penderaan kategori ini memang sukar dikesan secara zahir kerana tidak berlaku kecederaan fizikal, sedangkan penderaan emosi meninggalkan kesan lebih mendalam, berpanjangan dan membahayakan mangsa,” katanya.

Apa pun keadaannya, kata beliau, dharar secara emosi oleh suami terhadap isterinya (atau sebaliknya) tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menimbulkan kesan dan trauma bukan sahaja kepada isteri atau suami tetapi kepada keseluruhan institusi keluarga tersebut.

Katanya, Akta Keganasan Rumah Tangga pada 2012 juga memperluas takrif keganasan rumah tangga daripada hanya menekankan aspek penderaan berbentuk fizikal dan seksual kepada penderaan bukan fizikal iaitu psikologi dan emosi.

Beliau berkata, mangsa keganasan rumah tangga boleh membuat aduan di mana-mana balai polis mengenai penderaan emosi dan psikologi yang dialami.

“Sekiranya penyelesaian melalui runding cara kekeluargaan dan konsultasi psikologi tidak berhasil dan konflik masih berpanjangan sehingga menimbulkan kemudaratan, isteri atau suami boleh menggunakan haknya dari segi undang-undang untuk memohon perceraian atau fasakh di mahkamah syariah.

“Cuma, isu yang berbangkit daripada permohonan cerai atau fasakh adalah berkenaan keterangan dan pembuktian yang mencukupi bagi membolehkan mahkamah meluluskan permohonan berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN