MELAKA: Ribuan bangkai ikan yang mati di Sungai Melaka sejak dua hari lalu berpunca akibat perubahan ketara cuaca hingga menyebabkan air Sungai Melaka menjadi lebih cetek dan kemasukan air laut.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pemantauan pada Isnin lalu mendapati, air laut naik sehingga melebihi 14 kilometer (km) ke hulu menyebabkan pelbagai spesies ikan seperti talapia, keli dan haruan mati.
Katanya, beberapa faktor lain yang menjadi punca seperti cuaca panas berterusan dan paras air menyusut menyebabkan kadar oksigen rendah di dalam Sungai Melaka.
“Fenomena ini terjadi setiap tahun bermula dari Januari, Mac, April dan Oktober namun kadar kematian ikan hanyalah sedikit,” katanya selepas melawat Sungai Melaka di Pejabat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di Taman Rempah, di sini semalam.
Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pertandingan memancing dan pesta masakan ikan sungai sebagai langkah proaktif menghadapi fenomena ribuan ikan mati di Sungai Melaka.
Menurutnya, usaha tersebut secara tidak langsung menjadi tarikan baharu sempena Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024.
“Lebih baik kita lakukan sesuatu yang bermanfaat kepada rakyat berbanding membiarkan ikan itu mati dan menjadi bangkai setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata, pertandingan memancing dan memasak ikan sungai itu akan diadakan sebelum bulan April tahun hadapan di sepanjang 5.4 kilometer Sungai Melaka Fasa 2 hingga Batu Hampar.
Katanya, ia juga sebagai antara kaedah dalam memastikan ekologi di Sungai Melaka terpelihara terutama daripada pencemaran bau amonia yang terhasil daripada bangkai ikan.
Semalam akhbar melaporkan ribuan ikan di sepanjang Sungai Melaka ditemukan mati, dipercayai berpunca kekurangan oksigen akibat cuaca tidak menentu. – UTUSAN










