Cradle bantu lebih 1,000 startup sejak 2003 - Utusan Malaysia

Cradle bantu lebih 1,000 startup sejak 2003

NORMAN MATTHIEU VANHAECKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjaya membantu lebih 1,000 startup berasaskan teknologi menerusi pelbagai program yang dilaksanakan sejak penubuhannya pada 2003.

Menginjak dua dekad ditubuhkan tahun ini, agensi tersebut positif dapat membuka ruang dan peluang kepada lebih banyak startup dan mencapai sasaran MOSTI untuk mewujudkan 5,000 startup, dan lima startup berstatus “unicorn” menjelang akhir 2025, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup (SUPER) 2021 – 2023.

Norman Matthieu Vanhaecke

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, sejak ditubuhkan, pihaknya telah menyalurkan geran dan pelaburan masing-masing bernilai RM255 juta dan RM49 juta kepada startup yang menunjukkan potensi.

Ujarnya, daripada nilai peruntukan kerajaan itu, startup yang menerima geran telah menyumbang sebanyak RM796.8 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala pelaburan menyumbang sebanyak RM747.8 juta.

“Lebih membanggakan, lebih 1,000 startup yang dibantu ini telah mencipta lebih 80,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, selain ada yang berupaya menembusi pasaran luar negara,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Pandai Education antara startup dibangunkan dengan bantuan Cradle Fund.

Menurut Norman, tahun lalu, Cradle telah meluluskan geran bernilai RM12.5 juta kepada 49 startup yang memperoleh geran sehingga RM600,000 untuk setiap syarikat.

“Apabila mereka menerima geran, kami akan memantau perkembangan pembangunan prototaip, bimbingan dan strategi perniagaan, sekali gus mempersiapkan mereka untuk ke tahap pertumbuhan seterusnya.

“Jumlah geran juga akan disalurkan kepada mereka secara berperingkat supaya kami mendapat maklumat yang jelas mengenai perkembangan mereka dan memastikan dana digunakan dengan betul,” ujarnya.

Untuk memperkasa ekosistem startup, Cradle menawarkan pelbagai program yang sesuai untuk usahawan yang baharu di peringkat awal perkembangan idea atau berusaha menghasilkan prototaip. Program yang tersedia adalah Program Pelaburan Cradle (CIP) iaitu CIP SPARK dan CIP SPRINT.

Niagawan Plus Sdn. Bhd.

Selain itu, Cradle turut menyokong pembangunan dan perkembangan startup secara mampan dalam jangka masa panjang, dan pengembangan startup melalui kandungan yang memfokuskan pada pembinaan kapasiti dan modal insan. Program MYStartup dan MYHackathon merupakan salah satu intervensi yang menyumbang secara langsung kepada usaha meningkatkan bilangan startup yang inovatif dan berkualiti.

Menerusi program ini, startup dibimbing secara menyeluruh bermula dari peringkat idea, dilatih, disokong dan peluang untuk menunjukkan profil syarikat mereka bagi menarik pelabur asing.

Norman berkata, MYStartup portal turut diperkenalkan bagi membolehkan akses kepada maklumat yang boleh dikongsi oleh semua pemegang taruh dalam ekosistem startup.

“Portal ini menjadi satu platform sehenti untuk memperkenalkan startup tempatan kepada negara luar kerana 10 hingga ke 15 peratus daripada pelawat portal adalah daripada luar negara selain pelawat dari Malaysia, portal ini menerima pelawat daripada dua negara utama iaitu Amerika Syarikat dan Singapura.

“Ini jelas menunjukkan terdapat pelabur dan pemain industri dari luar negara yang berminat dengan startup tempatan yang menunjukkan potensi untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Newswav Sdn. Bhd.

Ujarnya, program MYHackathon yang merupakan inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dalam mencipta penyelesaian digital untuk menambah baik perkhidmatan terpilih kerajaan juga agak terkenal dalam kalangan startup.

“Melalui program tersebut, kita dapat lihat kreativiti technopreneur negara yang menghasilkan pelbagai penyelesaian digital yang memudahkan urusan serta melicinkan operasi agensi-agensi kerajaan.

“Sebagai contoh, terdapat startup yang menghasilkan prototaip bagi menghalang pencerobohan dron ke dalam kawasan penjara. Mereka kemudian dapat menjalinkan kerjasama dengan pihak Jabatan Penjara dalam memastikan penyelesaian tersebut dapat direalisasikan,” katanya.

Jelas beliau, fokus kerajaan terhadap pembangunan startup telah meningkat kerana mereka boleh menjadi enjin perubahan dan memberi semula kepada negara dengan mencipta peluang pekerjaan di waktu yang sukar ini.

“Penyelesaian yang mereka hasilkan juga memberi impak kepada negara dengan sangat cepat dan dapat membantu negara meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, kami akan lakukan lebih lagi untuk membawa lebih banyak kesedaran kepada startup, seterusnya membantu MOSTI mencapai misi untuk meletakkan Malaysia sebagai satu daripada 20 ekosistem startup utama global menjelang 2030,” ujarnya.

Naluri Hidup Sdn. Bhd.

Di antara startup yang telah berjaya di bawah Program Cradle adalah seperti berikut:

Startup Laman Web JumlahPembiayaan

 

Niagawan Plus Sdn. Bhd. https://niagawan.com/my/plus/ RM500,000

 

Versa Asia Sdn. Bhd. https://versa.com.my RM500,000

 

Newswav Sdn. Bhd. https://newswav.com RM500,000

 

Pandai Education https://pandai.org/ RM500,000

 

Naluri Hidup Sdn. Bhd. https://www.naluri.life/ RM2,000,000

 

 

Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan Cradle atau program-program geran CIP SPARK dan CIP SPRINT, sila layari https://www.cradle.com.my/

habis//

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya