KUALA LUMPUR: Seorang buruh dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat hantaran jelik dalam laman sosial Facebook dengan membangkitkan isu perkauman dan menghina Yang di-Pertuan Agong.
Hakim N. Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Rahim Abdullah, 49, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas lelaki itu mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dikenakan.
Mengikut pertuduhan pertama, OKS didakwa membuat dan memulakan komunikasi yang jelik sifatnya (isu perkauman) secara sedar dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan laman profil Facebook `Tuk Chik’.
Kesalahan itu dilakukan pukul 3.34 petang pada 25 Januari lalu, yang kemudian dibaca pukul 5 petang di sebuah restoran pada 8 April lalu. Sementara untuk pertuduhan kedua hingga keempat OKS didakwa menggunakan laman profil sama secara sedar membuat komunikasi sama (hina Agong) dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Kesalahan itu dilakukan antara pukul 10.52 pagi hingga 11.26 pagi pada 2 dan 3 April lalu yang kemudian dibaca di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, pukul 10.45 pagi, pada 5 April lalu.
Bagi kesemua pertuduhan itu, OKS didakwa mengikut Sesyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bagi pertuduhan pertama manakala penjara empat bulan bagi tiga lagi pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini.
Terdahulu semasa prosiding, Abdul Rahim yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menyesal dengan kesalahannya.
“Saya kesal dan memohon maaf kepada insitusi diraja dan tiada niat untuk provokasi mana-mana pihak,” katanya.
Bagaimanpun Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya mesej dapat disampaikan agar masyarakat luar tidak melakukan kesalahan sama.
“Dalam kes ini secara terang OKS telah melanggar hak kebebasan bersuara dan gagal menghayati Rukun Negara kedua iaitu kesetiaan kepada raja dan negara. Manakala bagi hantaran isu perkauman OKS gagal mencerminkan budaya kesopanan dan ketatasusilan yang perlu ada dalam setiap rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk,” katanya. – UTUSAN