KAJANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan, terdapat warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk masuk dan menetap di Malaysia sehingga mempunyai pelbagai perniagaan di negara ini.
Saifuddin berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang terbuka, namun kemasukan warga asing perlu dilakukan berlandaskan undang-undang negara ini iaitu mempunyai dokumen perjalanan dan pas yang sah.
Menurut beliau, Kabinet sudah mengadakan perbincangan mengenai isu penyalahgunaan pas lawatan itu.
“Saya beri laporan kepada Jemaah Menteri pada minggu lepas, tentang operasi yang dibuat oleh Komando Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) beserta pelbagai agensi lain, kami temui ada yang masuk dengan pas sosial tetapi berniaga.
“Berniaga pula bukan calang-calang, (mereka) buka resort, memiliki perniagaan dan ada orang tempatan sebagai rakan kongsi. Ada beberapa pelanggaran (yang berlaku),” katanya dalam sidang akhbar di Maktab Penjara Malaysia, di sini hari ini.
Beliau hadir bagi merasmikan Majlis Peluncuran Inisiatif Malaysia Border Guard (Veteran ATM) 2026 di Maktab Penjara Malaysia.
Turut hadir, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman. – UTUSAN










