Ambil tindakan tegas aktiviti salah guna visa lawatan sosial

Ambil tindakan tegas aktiviti salah guna visa lawatan sosial

STEVEN SIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi penguatkuasaan diarahkan mengambil tindakan tegas dan memperkukuhkan pemantauan terhadap aktiviti penyalahgunaan visa lawatan sosial untuk bekerja atau berniaga secara tidak sah di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri telah membincangkan isu penyalahgunaan visa lawatan sosial untuk bekerja dan berniaga secara tidak sah oleh pelancong asing.

Katanya, perbincangan diadakan susulan aduan daripada peniaga-peniaga tempatan kepada kementeriannya.

“Saya telah membangkitkan perkara ini dan kerajaan telah mengarahkan agensi-agensi berkaitan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas, termasuk memperkukuh pemantauan terhadap aktiviti bekerja dan berniaga tanpa kebenaran sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Steven Sim berkata, beliau akan bekerjasama rapat dengan Menteri Dalam Negeri serta agensi berkaitan bagi memastikan tindakan susulan dilaksanakan dengan segera.

“Langkah ini penting untuk melindungi PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) dan peniaga kecil tempatan serta memastikan ekosistem keusahawanan negara kekal teratur dan berdaya saing,” katanya.

Tambahnya lagi, Malaysia amat mengalu-alukan kehadiran pelancongan dan pelabur ke negara ini.

“Namun, undang-undang dan peraturan negara mesti dipatuhi oleh semua pihak tanpa pengecualian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN