Buruh binaan didakwa rogol penjawat awam, ceroboh rumah - Utusan Malaysia

Buruh binaan didakwa rogol penjawat awam, ceroboh rumah

HASSAN Ahmad (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan merogol dan menceroboh rumah seorang penjawat awam di sebuah kuarters kerajaan di Fair Park minggu lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang buruh binaan didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas dua pertuduhan rogol seorang penjawat awam dan menceroboh rumah mangsa di sebuah kuarters kerajaan di Fair Park, minggu lalu.

Tertuduh, Hassan Ahmad, 43, mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah merogol seorang wanita berusia 38 tahun dan meletakkannya pada ketakutan kematian di sebuah rumah di tingkat dua di perumahan penjawat awam di Jalan Kamarudin Isa, Fair Park di Ipoh antara pukul 10 malam pada 17 April 2023 hingga 1.47 pagi 18 April 2023.

Pendakwaan terhadap lelaki terbabit dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan iaitu merogol mangsa sama di lokasi serupa antara pukul 5.30 hingga 6.30 pagi pada 18 April 2023.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan.

Bagi kesalahan menceroboh, tertuduh yang juga seorang duda dan memiliki seorang anak perempuan itu didakwa menceroboh masuk dengan niat melakukan perbuatan menyalahi undang-undang di rumah mangsa pada pukul 10 malam, 17 April 2023 hingga 9 pagi, 18 April 2023.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Evangelin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan lelaki itu tidak mempunyai alamat tempat tinggal tetap selain mengetahui lokasi kediaman mangsa.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman tarikh lain pada 22 Mei depan sementara menunggu fakta kes.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita tempatan berusia 38 tahun ditemukan orang awam dalam keadaan trauma dan menangis di tepi Jalan Kamaruddin Isa, Fair Park pada pukul 9.15 pagi.

Wanita yang disyaki mangsa rogol itu juga mengalami luka di kaki dipercayai akibat terjun dari tingkat dua rumahnya ketika menyelamatkan diri.

Susulan penemuan mangsa, tangkapan dilakukan ke atas suspek di rumah wanita terbabit yang membawa kepada rampasan senjata seperti gunting, pisau dan kuku kambing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya