SUNGAI PETANI: Tradisi mengagihkan bubur lambuk yang dimasak sendiri sepenuhnya kepada orang ramai sejak 10 tahun lalu menjadi antara lambang penghargaan kedai emas Hajjah Halijah kepada masyarakat sekitar terutama para pelanggannya.
Bubur lambuk resipi ‘Tok Jah’ yang diwarisi sejak turun temurun daripada Halijah Saad, 69, itu juga antara pegangan Ketua Pegawai Eksekutif kedai emas Hajjah Halijah, Mohd. Shaiful Hasri Shukri yang masih diamal sehingga ke hari ini.
“Ibu saya (Halijah Saad) ada berpesan, kalau kita nak berniaga kena mula dengan memberi dahulu, bukan kita cari duit dahulu. Jadi, mungkin cara pemberian kami macam ini yang bermakna bukan ambil emas bagi.
“Emas adalah produk kami meniaga dan hasil daripada keuntungan itu kita sumbangkan kembali kepada masyarakat dalam pelbagai cara termasuk memberi bubur percuma yang dilakukan setiap kali bulan Ramadan,” katanya.
Mohd. Shaiful Hasri berkata, pulangan itu bukan sekadar dirasai para pelanggan kedai emas Hajjah Halijah tetapi sesiapa sahaja tidak kira bangsa yang gemarkan keenakan bubur lambuk.
Katanya, setiap hari sepanjang Ramadan, mereka akan mengagihkan 500 pek bubur lambuk percuma kepada orang ramai bermula pukul 5 petang di keempat-empat cawangan iaitu Sungai Petani, Jitra, Alor Setar dan Kangar di Perlis.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat memberangsangkan. Boleh dikatakan tidak sampai satu jam bubur lambuk Tok Jah diedarkan, kesemua 500 bungkus juadah sempena Ramadan itu habis diagihkan kepada orang ramai.
“Objektif kami adalah mengembalikan suasana seperti kita berpuasa dahulu. Rezeki yang kita ada dikongsikan bersama dengan orang ramai melalui agihan bubur ini.
“Sebab itulah, saya meneruskan legasi ibu saya ini agar pada bulan Ramadan yang mulia ini, kita semua terus mendapat keberkatan dengan sama-sama berkongsi rezeki dan bersedekah,” katanya.
Sementara itu katanya, bagi mengalakkan lebih ramai orang yang mahu beramal dan bersedekah di bulan Ramadan ini, pihaknya juga meneruskan Infaq Ramadan bersama kedai emas Hajjah Halijah yang bermula daripada RM10.
“Infaq Ramadan ini juga kami adakan setiap tahun supaya orang ramai boleh sama-sama beramal dan bersedekah di bulan yang mulia ini. Hasil kutipan tersebut kami akan sedekahkan kepada pusat tahfiz yang terpilih. Alhamdulillah, sambutan daripada orang ramai juga amat memberangsangkan,” jelasnya. – UTUSAN










