Boy Iman tak mengaku menipu

Boy Iman tak mengaku menipu

Norul Iman Abdul Rahman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini,  Boy Iman dikaitkan dengan kontroversi projek perumahan mampu milik, kali ini pelakon yang juga ahli perniagaan itu didakwa pula atas tuduhan menipu penganjuran festival raya.

Boy Iman atau nama sebenarnya Norul Iman Abdul Rahman, 43, didakwa menipu seorang wanita Siti Wardina Basir, 21, dengan memperdaya mangsa berkaitan penjualan tapak perniagaan (booth) atau penyewaan tapak sempena festival Horay X Fest Raya sehingga mendorong wanita itu menyerahkan RM1,500.

Turut didakwa bersama-sama Boy Iman atas tuduhan sama ialah Nor Azmi Jantan, 49, serta dua lagi wanita Norazah Sahud, 51, dan Norzana Rapie @ Rafie, 51.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 2.34 pagi, 19 April lalu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Selepas mahkamah merekodkan pengakuan, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam-peguam Mohamad Syakir Mohamad Fawzi dan Earnest Azad yang mewakili kesemua tertuduh memohon agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan anak-anak guam mereka mempunyai tanggungan.

Selepas mendengar hujah dan rayuan kedua-dua belah pihak,  Majistret Noorelyanna Hanim Abdul Halim menetapkan wang jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap tertuduh.

Mahkamah turut mengarahkan kesemua tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa mereka kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Jun ini.

Terdahulu, ketika dibawa ke mahkamah Boy Iman yang telah diisytiharkan muflis pada 2019 mendakwa dirinya dianiaya.

“Doakan saya ya…teraniaya ni,” katanya.

Boy Iman diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas gagal membayar tuntutan RM60,000 oleh salah seorang pembeli rumah bagi projek perumahan syarikatnya, DBI Technology Sdn. Bhd., DBI Homes.

Media sebelum ini melaporkan pihak polis telah menahan lima individu termasuk pengarah syarikat bagi membantu siasatan berhubung festival beli-belah Syawal, Hooray X Fest Raya yang dibatalkan saat-saat akhir.

Karnival jualan sempena Aidilfitri yang sepatutnya bermula 19 April lalu di WTC dibatalkan di saat akhir akibat penaja utama menarik diri.

Program jualan raya Hooray x Fest Raya itu sepatutnya berlangsung pada 19 April sehingga 21 April lalu namun telah dibatalkan pada saat akhir. 

Bagaimanapun menerusi satu kenyataan yang dibuat oleh Pengurus Hal Ehwal Awam WTCKL, pihaknya memohon maaf di atas segala kesulitan dan menyatakan pihaknya tidak bertanggungjawab di atas sebarang bentuk kerugian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya