Bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan - Utusan Malaysia

Bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan

SEBUAH bot nelayan Indonesia yang dikendalikan lima kru termasuk tekong ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang semalam kerana menceroboh perairan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Sebuah bot nelayan Indonesia yang dikendalikan lima kru termasuk tekong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang kerana menceroboh perairan negara semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot nelayan Indonesia itu ditahan pukul 12.20 tengah hari semalam di kedudukan 79.6 kilometer barat daya Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung.

”Pemeriksaan awal mendapati, bot yang berpangkalan di Pantai Labu, Deli Serdang, Sumatera Utara itu dikendalikan lima kru termasuk tekong warga Indonesia berumur antara 13 hingga 37 tahun.

“Ketika diperiksa kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, tambah beliau, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Jelasnya, bot dan kru serta peralatan menangkap ikan disita dan ditahan sebelum dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

Tambahnya, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.

”Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian O4-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya