Bomba bawa turun lelaki obesiti patah kaki daki bukit - Utusan Malaysia

Bomba bawa turun lelaki obesiti patah kaki daki bukit

LAPAN anggota bomba membawa turun seorang lelaki berusia 44 tahun yang patah kaki selepas tergelincir di Bukit 300 Teluk Batik, dekat Lumut, hari ini. - UTUSAN/JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang lelaki yang beriadah di kawasan Bukit 300 di Teluk Batik, dekat sini, terpaksa dibawa turun menaiki pengusung oleh lapan anggota bomba selepas cedera di kaki, tengah hari tadi.

Mangsa yang mempunyai berat 140 kilogram difahamkan patah di bahagian pergelangan kaki kiri akibat tergelincir ketika melakukan aktiviti riadah di bukit tersebut yang popular di kalangan penduduk tempatan di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.50 petang, justeru sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung ditugaskan ke lokasi kejadian.

“Lelaki berusia 44 tahun itu datang ke Bukit 300 bersama seorang rakannya untuk beriadah sebelum dipercayai tergelincir lalu mengakibatkan pergelangan kaki kirinya patah,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan itu kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dibawa turun dari bukit itu pada ketinggian 170 meter.

Jelasnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak perubatan yang membawanya menaiki ambulans untuk menerima rawatan lanjut.

Beliau memaklumkan operasi oleh 11 anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan II Adde Noor Othman itu tamat pada pukul 5 petang tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN