Bila saya kata nak peluk Islam, emak saya terkejut tapi dia senyum

‘Bila saya kata nak peluk Islam, emak saya terkejut tapi dia senyum’

MUHAMMAD Mikhael Sathayah dan ibunya, M. Muniamah pada satu program di Ipoh, Perak, baru-baru ini. – FOTO/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ramadan kali ini cukup istimewa buat seorang saudara baharu, Muhammad Mikhael Sathayah yang memeluk Islam pada 2018 apabila video kisah dia memeluk Islam dan menjaga emak kandungnya yang berlainan agama, tular dalam media sosial.

Muhammad Mikhael, 39, ber­kata, sejak video kisahnya memeluk Islam tular, dia bersyukur kerana mendapat sokongan da­ripada pelbagai pihak termasuk penceramah dan pendakwah terkenal antaranya Ustaz Ebit Lew yang mengunjunginya baru-baru ini.

Menurutnya, mereka yang da­tang bertemu dengannya mem­berikan sokongan bukan ha­nya kerana dia diberikan hidayah memeluk Islam tetapi juga kerana terus menjaga emak kandungnya, M. Muniamah, 72, walaupun mereka kini berlainan agama.

Katanya, dia terharu dengan sokongan daripada mereka yang datang menemuinya dan berjanji akan terus menjaga emaknya.

“Saya masih ingat semasa saya menyatakan hasrat untuk memeluk Islam, emak terkejut tetapi dia tersenyum, dia sudah tahu saya mahu memeluk Islam, saya bersyukur kerana emak memberikan keizinan.

“Berbeza agama bukan ha­langan buat saya untuk terus menyayangi emak. Saya sangat sayangkan emak dan akan terus menjaga emak, terima kasih kepada emak kerana masih bersama saya. Saya tahu, tak kira apa yang saya buat, saya tak dapat membalas jasa emak. Emak masih sayang saya, sampai mati saya nak jaga emak.

“Emak sangat menyokong, emak sangat luar biasa, semua emak baik tapi emak saya sa­ngat luar biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Muhammad Mikhael pernah bekerja di sebuah taman tema di Ipoh namun mengambil keputusan berhenti daripada pekerjaannya itu tahun lalu untuk menjaga emaknya yang sakit.

Dia kini merupakan seorang pempengaruh media sosial yang sering mendapat undangan untuk mempromosikan perniagaan makanan di restoran terkemuka atau food review berkata, kerana tidak mahu berenggang dengan emaknya, dia membeli rumah di sebelah rumah emaknya di Tambun di sini.

“Saya memang berdoa teringin untuk tinggal sebelah dengan rumah emak, berjiran dengan emak, Alhamdulillah, Tuhan makbulkan,” katanya.

Katanya, dia juga pasti akan membawa emaknya pada setiap undangan untuk membuat food review.

“Ya saya pasti akan bawa emak ke mana-mana, sebenarnya sudah lama saya teringin nak bawa emak jalan ke sana ke sini tapi pada masa itu tak ada masa, tak ada duit tapi sekarang semua impian tercapai, saya nak bawa emak ke mana-mana, saya nak pimpin tangan emak, nak jaga mak sampai mati,”katanya.

Muhammad Mikhael bersyukur kerana keputusannya memeluk Islam mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk rakan-rakannya.

Katanya, tiada cabaran atau tentangan daripada sesiapa pun sebaik sahaja video kisah dia memeluk Islam tular dalam media sosial.

“Mungkin ada yang beranggapan keputusan saya ini akan mendapat tentangan, tetapi saya bersyukur kerana satu Malaysia, tak kira bangsa atau agama semuanya sokong saya sehingga kadang kala saya rasa betulkah apa yang saya lalui ini?

“Kasih sayang mereka yang menyokong saya melimpah-limpah, kawan-kawan India dan Cina kata agama adalah pilihan masing-masing tapi part sayang emak itu, mereka menyokong saya.

“Mesejnya agama bukan penghalang untuk kita sayang asal kita jaga batas agama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN