PETALING JAYA: Kutipan cukai tertunggak daripada mana-mana pihak termasuk syarikat dan entiti perniagaan penting kepada negara bagi membantu melancarkan proses pembangunan,
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, jika hutang cukai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh syarikat dan entiti perniagaan berjumlah RM2.1 bilion dilangsaikan, maka kutipan tersebut dapat disalurkan untuk pembangunan negara.
“Duit itu juga boleh dilaburkan kepada pendidikan di negara yang mana kerajaan boleh membaik pulih infrastruktur dan kelengkapan sekolah serta membantu murid yang kesusahan.
“Dalam pada itu, kerajaan juga boleh menambah hospital dan memperbanyak kelengkapan di hospital kerajaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, sebanyak 26,000 syarikat dan entiti perniagaan belum melangsaikan tunggakan GST yang semuanya berjumlah hampir RM2.1 billion walaupun cukai tersebut sudah dimansuhkan sejak 2018.
Dalam pada itu, Baharom berkata, kerajaan perlu mewujudkan satu sistem bagi memudahkan pembayaran dan pengembalian cukai bagi syarikat-syarikat dan entiti perniagaan yang mempunyai tunggakan cukai.
“Selain itu, kerajaan perlu mengambil tindakan yang tegas kepada syarikat dan entiti perniagaan yang belum melangsaikan hutang GST dengan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya. – UTUSAN