KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki merogol anak tirinya yang berusia 12 tahun di sebuah kebun di Kampung Iban Merotai, Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.50 malam, Sabtu di sebuah kebun kelapa sawit persendirian susulan laporan polis yang dibuat oleh keluarga mangsa.
Berdasarkan maklumat pengadu, mangsa memberitahu melalui panggilan telefon bahawa dia telah menjadi mangsa rogol bapa tirinya.
“Mangsa telah menghubungi saudara mara yang lain bagi membongkar perbuatan keji suspek dan tindakan segera telahpun diambil.
“Berdasarkan maklumat daripada pengadu, sepasukan polis daripada Balai Polis Bombalai bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi mengesan dan menahan suspek,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati, mangsa telah dirogol sebanyak sekali. Mangsa difahamkan mula tinggal bersama suspek pada awal bulan lalu. Turut tinggal bersama mereka adalah ibu serta lima adik-beradik yang lain termasuk dua adik-beradik tiri.
Jasmin bekata, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63. – utusan










