Banduan warga emas didakwa gubah wang haram RM5.69 juta - Utusan Malaysia

Banduan warga emas didakwa gubah wang haram RM5.69 juta

Wang
LOKE Chee Min dibawa masuk ke kamar Mahkamah Sesyen untuk berdepan pertuduhan pengubahan wang haram di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang banduan lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM5.69 juta pada 2017 dan 2018.

Tertuduh, Loke Chee Min, 64, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman.

Berdasarkan dua pertuduhan, bekas peguam itu didakwa melupuskan wang berjumlah RM3.55 juta dan RM500,000 yang merupakan hasil aktiviti haram daripada akaun bank milik firma guamannya. Pelupusan itu didakwa turut melibatkan sebanyak 26 cek bank yang berasingan. 

Tertuduh turut didakwa memindahkan wang berjumlah RM1.13 juta dan RM500,000 melibatkan tiga akaun bank firma sama. Perbuatan itu dilakukan di tiga bank berasingan di sekitar Balakong dan Seri Kembangan antara 12 Oktober 2017 hingga 30 Januari 2018.

Pendakwaan kes dijalankan mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Amanina Wan Din tidak menawarkan kos ikat jamin berikutan tertuduh sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan jenayah lain.

“Tertuduh kini menjalani hukuman di Penjara Kajang termasuk melibatkan kes mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan. Justeru, saya memohon penetapan tarikh bagi pelantikan peguam dan serahan dokumen berkaitan,” katanya.

Norazlin kemudian menetapkan sebutan kes pada 11 Mei depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya