ATM tidak tetapkan kuota pengambilan berasaskan kaum - Utusan Malaysia

ATM tidak tetapkan kuota pengambilan berasaskan kaum

MOHAMAD Hasan membuka bungkusan sumbangan sempena gimik penyampaian sumbangan Aidilfitri di Auditorium Wisma Pertahanan. - MINDEF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menetapkan sebarang kuota khusus berasaskan kaum dalam mana-mana pengambilan anggota dan pegawainya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peratusan penyertaan bukan Bumiputera dalam ATM amat rendah kerana berkemungkinan melihat potensi lain yang menjanjikan pulangan lebih lumayan dan bukan disebabkan ketiadaan pelan persaraan.

Sehubungan itu katanya, ATM mempunyai banyak perancangan bagi mempersiapkan anggotanya untuk persaraan, antaranya pelbagai kursus peralihan yang dianjurkan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

Selain itu katanya, pelbagai perancangan dibuat untuk menarik golongan bukan Bumiputera menyertai ATM antaranya membuka permohonan secara dalam talian dan mengadakan jerayawara di seluruh negara.

“Nampaknya ia amat tidak menggalakkan dan masih rendah. Oleh itu, kami tidak mahu perkara ini berterusan dan berharap kerjaya sebagai anggota tentera akan lebih menarik minat semua kaum,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2023 di Wisma Pertahanan di sini.

Terdahulu, Mohamad menyampaikan 15,000 bungkusan Hari Raya Aidilfitri kepada anggota tentera yang bertugas di sempadan dan perairan negara yang akan diedarkan sebelum perayaan itu.

Sebanyak 79 buah syarikat, badan korporat serta individu memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk kepada anggota ATM khususnya yang bertugas semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sumbangan diterima dalam bentuk wang tunai, barangan keperluan dan juadah hari raya, dengan keseluruhan sumbangan itu bernilai sebanyak RM2.16 juta.

Berhubung isu pembelian meriam mudah gerak (SPH) 155mm, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, senjata tersebut tetap akan dibeli walaupun proses perolehan aset itu sebelum ini dibatalkan.

“Meriam berkenaan diperlukan tentera darat terutamanya Kor Artileri, tetapi proses perolehannya kami batalkan kerana ia dulu melalui runding terus, jadi kami telah buat tender terbuka.

“Pembelian meriam berkenaan selepas ini akan dibuat dengan memastikan ia benar-benar mengikut spesifikasi diperlukan ATM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN