PETALING JAYA: Aliran trafik di semua lebuh raya didapati mula perlahan berikutan pertambahan kenderaan pada hari terakhir pelaksanaan Tol Rahmah percuma sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri hari ini.
Jumlah kenderaan pulang ke bandar-bandar utama dijangka meningkat berikutan orang ramai kembali bekerja dan tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan tol percuma seperti diumumkan kerajaan, baru-baru ini.
Berdasarkan Facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), lebuhraya yang menunjukkan trafik perlahan ialah Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS Selatan), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS Utara) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).
Sebelum ini, LLM menjangkakan jumlah peningkatan trafik hingga 2.3 juta kenderaan sehari di tiga lebuh raya utama yang dijangka berlaku secara berperingkat sehingga 7 Mei ini. – UTUSAN