KOTA BHARU: Konsortium E-Mutiara Bhd. (E-Mutiara) memperketat kawalan ke atas pemandunya dengan membuka pejabat operasi pemantauan 24 jam bagi memastikan keselamatan penumpang dalam keadaan baik sepanjang musim perayaan ini.
Pengerusi Eksekutifnya, Che Ibrahim Che Ismail berkata, proses itu bermula dari 14 hingga 30 April bagi memastikan pemanduan berdisiplin dengan patuh kepada undang-undang sepanjang membawa penumpang.
Katanya, seramai empat kakitangan bertugas secara bergilir untuk memantau menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di tempat duduk pemandu.
“Selain itu, kita telah melaksanakan sesi libat urus bersama 150 pemandu bas E-Mutiara mengenai langkah-langkah keselamatan.
“Kita mahu pemandu-pemandu dapat mengandakan kesabaran dan kesopanan ketika memandu terutaman pada musim perayaan ini memandangkan jumlah kenderaan turut bertambah untuk pulang beraya,” katanya selepas Majlis Pengagihan Zakat di Pejabat E-Mutiara, Panji di sini, semalam.
Dalam perkembangan lain, Che Ibrahim berkata, pihaknya melabur sebanyak RM24 juta bagi menambah 20 buah bas panjang yang pertama di Malaysia bagi menampung permintaan perjalanan di seluruh negara.
Katanya, bas panjang berkenaan dapat membawa 51 penumpang termasuk sebuah tandas dengan panjang 13.5 meter berbanding 12.2 meter sebelum ini yang hanya boleh memuatkan 45 penumpang.
“Bas panjang ini adalah yang pertama di Malaysia. Sebelum ini kita telah mempunyai dua buah bas berkenaan untuk percubaan hampir lima tahun,” katanya. – UTUSAN











