KUALA KEDAH: Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini hambar apabila ada kalangan nelayan di kawasan ini yang sudah seminggu tidak ke laut sekali gus menyebabkan mereka hilang sumber pendapatan.
Menurut Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, perkara itu amat menyedihkan pihaknya dan mengharapkan program Barokah Ramadan dapat membantu mereka.
Katanya, program dengan kerjasama syarikat korporat Wasiyyah Shopee Berhad itu mengagih tiga ekor lembu dan barangan dapur kepada 400 asnaf di kawasan tersebut terutama dalam kalangan nelayan berkenaan.
“Mengalir air mata saya apabila ada (nelayan) yang beritahu nak makan pun susah sebab sudah seminggu tak ke laut. Bila tak ke laut tak adalah pendapatan. Mana nak sambut hari raya lagi. Ada juga penjual ikan yang hilang pendapatan kerana bila tiada ikan, tiada benda nak jual.
“Musim nak sambut raya ini mereka tidak ada apa-apa untuk dimakan, jadi kita sembelih tiga ekor lembu dan agihkan daging kepada golongan yang kesempitan seperti ini bersama beras, beras pulut, gula dan minyak masak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Barokah Ramadan di Cawangan Kilang Ais, di sini semalam.
Kata Mashitah, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan syarikat korporat yang berminat untuk menyumbang kepada golongan yang memerlukan seperti asnaf dan fakir miskin.
“Kita lihat banyak yang memilih untuk infaq ke luar negara mungkin kerana mereka tidak didedahkan bahawa di negara ini masih ramai asnaf kita yang layak menerima bantuan.
“Jadi YPPM menawarkan diri untuk mengenal pasti dan mempermudah mana-mana pihak yang ingin menyampaikan sumbangan terus kepada asnaf ini.
Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shopee, Arifin Sabirin, pihaknya merebut berkat hari-hari terakhir Ramadan untuk terus menghulurkan bantuan meringankan bebanan asnaf di kawasan itu.
“Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kita untuk membantu golongan asnaf. Saya juga ambil kesempatan nak menyeru kepada rakan-rakan di luar yang ingin memberi infaq tetapi mereka banyak berinfaq di luar negara.
“Saya juga dulu macam itu juga kita banyak berinfaq di luar negara sedangkan rakyat kita sendiri pun ramai yang memerlukan. Keutamaan sedekah itu kepada keluarga sendiri dan rakyat ini ibarat keluarga kita sendirilah,” katanya. – UTUSAN










