Ada mekanisme lebih mudah berbanding cagar simpanan KWSP - Johari Abdul Ghani - Utusan Malaysia

Ada mekanisme lebih mudah berbanding cagar simpanan KWSP – Johari Abdul Ghani

JOHARI Abdul Ghani memberi kenyataan media pada Program Ramadan Madani Usanita Titipan Kasih di Masjid Jamek Kampung Baru. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terdapat mekanisme yang lebih mudah untuk membantu golongan yang memerlukan berbanding menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran.

Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan, perkara itu perlu diteliti kerana simpanan KWSP diwujudkan bukan lagi semata-mata untuk simpanan hari tua.

“Simpanan KWSP sejak dahulu lagi, kita tak pernah pakai duit ini, macam mana pun ada masalah (kewangan), tak pernah.

“Cuma selepas 60 tahun, perlu kita tengok ada keadaan-keadaan tertentu (guna) duit KWSP. Contohnya, untuk perubatan, beli alat-alat pendidikan, itu memang ada (yang memerlukan).

“Sebab itu, macam saya cadangkan, ada mekanisme lebih mudah untuk kita beri kepada mereka,” katanya kepada pemberita ketika hadir Program Ramadan Madani Usanita di Masjid Jamek Kampung Baru Kuala Lumpur.

Namun beliau menegaskan, mekanisme pengeluaran simpanan KWSP haruslah disediakan atas sebab-sebab yang munasabah.

“Kena bersebab, kalau tak ada sebab, tak boleh, itu yang berlaku pada dua pengeluaran sebelum ini, sehingga RM145 bilion telah keluar dari KWSP menyebabkan ramai orang tak perlu ambil duit, mereka ambil.

“Ini menjejaskan kedudukan masa depan mereka yang menyimpan duit, jadi untuk kali ini, itu cadangan saya, mungkin mereka boleh memperincikan,” katanya.

Justeru, beliau mahu kaedah cagaran simpanan KWSP diteliti semula.

“Masalah cagaran ini, hakikatnya, kalau nak cagarkan simpanan dalam KWSP, banyak perkara yang kita kena tengok, dari segi pengeluaran kemudian bila kita cagar kena bayar faedah, itu juga perlu mengeluarkan wang,” katanya.

Ahli KWSP yang layak dibenarkan membuat permohonan bagi Fasiliti Sokongan Akaun 2 bermula 7 April lalu, secara dalam talian melalui MBSB atau Bank Simpanan Nasional (BSN).

Permohonan Fasa 1 melibatkan bagi individu berusia 40 tahun dan ke atas, manakala Fasa 2 bagi mereka yang berumur 40 tahun ke bawah akan dimaklumkan kelak.

Antara syarat yang ditetapkan adalah pemohon mesti mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP serta jumlah pembiayaan maksimum RM50,000 tertakluk kepada baki Akaun 2 serta tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.

Kadar faedah konvensional atau kadar keuntungan Islamik ditetapkan antara 4 hingga 5 peratus berbanding 8 hingga 15 peratus daripada kadar pasaran semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya