75,000 kenderaan guna LPT2 pada hari kemuncak Aidilfitri   - Utusan Malaysia

75,000 kenderaan guna LPT2 pada hari kemuncak Aidilfitri  

ROHAIMI Md. Isa  (dua dari kanan) menyerahkan duit raya kepada antara kanak-kanak asnaf dan anak angkat IPK Terengganu pada majlis berbuka puasa, semalam. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 75,000 kenderaan dijangka menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Terengganu pada hari kemuncak musim perayaan Aidilfitri bermula sehari sebelum hari raya sehingga hari raya ketiga, tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, peningkatan sebanyak empat kali ganda jumlah pengguna tersebut dijangka berlaku berikutan penutupan jalan utama di Gua Musang, Kelantan.

Menurut beliau, keadaan tersebut juga boleh menyebabkan kesesakan kenderaan terutama di jalan   Persekutuan dan negeri menuju ke Kelantan iaitu di daerah Setiu dan Besut.

“Pada hari biasa, jumlah kenderaan di LPT2 hanya kira-kira 15,000 buah sahaja, namun disebabkan lencongan di Gua Musang, kita ramal berlaku kesesakan perantau menuju Kelantan yang melalui Terengganu.

“Bagi tujuan penyuraian dan memastikan kelancaran lalu lintas, hampir 300 anggota trafik akan ditugaskan khususnya di persimpangan lampu isyarat di daerah Setiu dan Besut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar Ihya Ramadan anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, semalam.

Dalam pada itu, Rohaimi menambah, polis juga menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan dan mematuhi arahan pihak berkuasa, selain mengikuti perkembangan semasa aliran lalu lintas di negeri ini.

Jelasnya, sebanyak 22 kawasan panas dijangka berlaku kesesakan dan 20 kawasan hitam sering terjadi kemalangan telah dikenal pasti di seluruh Terengganu dalam Op Selamat kali ini.

Katanya, penugasan anggota trafik di kawasan tersebut tidak dapat mengelakkan daripada berlakunya kesesakan, namun dapat membantu kelancaran serta memudahkan pengguna jalan raya.

“Aliran trafik ini bukan sahaja melibatkan pengguna luar yang menuju atau keluar dari Kelantan sebaliknya turut memberi kesan di dalam bandar raya Kuala Terengganu.

“Ianya berlaku apabila pengguna jalan raya melakukan perjalanan dari satu daerah ke satu daerah yang lain. Jadi orang ramai perlu lebih bersabar dan berhemah,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya