PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka tujuh kertas siasatan berkaitan kes penghinaan terhadap kaum, agama dan institusi diraja (3R) dalam tempoh 10 hari bermula 27 Mac hingga 6 April lalu.
Kesemua kes tersebut disiasat menerusi penubuhan pasukan khas yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pada 22 Mac lalu selain dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 JSJ.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, objektif penubuhan pasukan khas ini bagi memastikan siasatan dijalankan dengan kadar segera dan dikemukakan kepada pejabat Peguam Negara (AGC) dalam tempoh tujuh hari.
Katanya, daripada tujuh kertas siasatan itu, empat kes membabitkan penghinaan institusi diraja, dua kes berkaitan penghinaan agama manakala satu melibatkan elemen perkauman.
“Setakat ini dua ditahan berkaitan kes hina institusi diraja dan perkauman. Kita juga sedang mengesan seorang lagi suspek.
“Tiga kertas siasatan telah dirujuk kepada AGC selari dengan peruntukan Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan manakala empat lagi dalam siasatan USJT,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik gambar, video sensitif atau seumpamanya yang melangkaui aspek 3R.
Jelasnya, perkara seperti ini boleh menjurus kepada fitnah dan menyakiti hati sehingga mengundang kemarahan dan kekacauan masyarakat.
“Pengguna disaran menggunakan media sosial dengan bijak bagi menjamin keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum.
“Sebarang bentuk penularan berita palsu, kecenderungan menghasut atau ugutan boleh menyebabkan kegentaran awam boleh diambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan kesalahan termaktub di bawah Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN