SERAMAI 50 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman, Bentong, Pahang menerima sumbangan barangan makanan asas daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sempena bulan Ramadan, baru-baru ini.
Sumbangan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR Coopcare) Angkasa khas bagi membantu pelajar ahli koperasi sekolah dari keluarga golongan B40.
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, CSR Coopcare turut membantu ahli koperasi yang terjejas musibah banjir.
“Sumbangan diberikan dalam bentuk barangan keperluan asas menerusi Projek Barang Asas 100 (BA100) sebagai tanda cakna selari dengan prinsip berkoperasi,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN