PUTRAJAYA: Kerajaan menambah 1,000 lagi lokasi Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) menjadikannya jumlah keseluruhan 2,000 tahun ini bagi memastikan pengguna mendapat barangan pada harga lebih murah selain mengurangkan peranan orang tengah dalam perniagaan runcit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu dijangka memanfaatkan peniaga yang menjual terus dari sumber.
FAMA turut mengadakan Jualan Khas Ramadan Madani di 268 lokasi di seluruh negara membabitkan pasar tani, pasar tani kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok.
Katanya, sejumlah 113 outlet pemasaran FAMA akan mengadakan Jualan Khas Syawal Madani bermula hari ini untuk membantu rakyat mendapatkan bahan persiapan Aidilfitri pada harga lebih rendah.
“Dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya pada tahap tertinggi agar acara tahunan ‘Balik Kampung’ tidak dicemari dengan kesedihan dan tangisan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama-sama Proton dan Perodua melancarkan Pakej Rahmah bagi servis kenderaan bermotor dengan harga jauh lebih murah.
“Ini merupakan usaha kerajaan serta semua pihak terutamanya pemain pelbagai industri seperti industri peruncitan, makanan dan minuman, tekstil, perhotelan, perkilangan berasaskan makanan dan yang terkini automotif bagi membantu rakyat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) Bilangan 1 bagi tahun 2023, di sini kelmarin.
Sebelum ini, Anwar mengarahkan lebih banyak usaha dilaksana bagi mengawal harga barangan termasuk melaksanakan penjualan terus tanpa pembabitan orang tengah dengan membawa bahan mentah terus dari ladang ke pasar.
Dalam mesyuarat berkenaan, sebanyak empat kertas dibentangkan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Anwar berkata, KPKT juga bakal mengumumkan satu lagi inisiatif Rahmah dalam masa terdekat dengan kerjasama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata, projek rintis di Perlis bagi Program Ekonomi Sempadan iaitu Projek Pembekalan Petrol RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi menunjukkan impak positif dalam usaha mengatasi ketirisan bahan bakar itu terutamanya di kawasan berhampiran dengan sempadan negara.
Jelasnya, laporan awal menunjukkan subsidi kerajaan dapat diselamatkan kerana penjualan minyak petrol dan diesel ini tidak melibatkan peruntukan subsidi, malah peluang untuk meningkatkan pendapatan negara juga tinggi melalui cukai jualan yang dikenakan ke atas kenderaan asing.
Dalam masa sama, KPDN juga merekodkan kes penyelewengan rendah di negeri itu dalam tempoh projek rintis dilaksanakan setakat ini termasuk mampu mengatasi isu trafik sesak di stesen-stesen minyak berikutan pelaksanaan inisiatif tersebut.
“KPDN akan mengeluarkan perincian pencapaian projek rintis ini sepanjang dua bulan yang dilaksanakan selama tempoh itu di Perlis serta dalam kajian untuk dipanjangkan ke negeri-negeri lain.
“Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan KPDN sedang memperincikan kaedah subsidi lebih bersasar dengan satu kertas pembentangan akan diangkat kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada mesyuarat akan datang,” katanya.
Selain itu, Anwar memaklumkan, inisiatif Jualan Rahmah setakat ini dilaksanakan di 16 pasar raya besar dan rangkaiannya meliputi 118 kawasan Parlimen membabitkan 8,223 lokasi dengan 12,000 SKU direkodkan sehingga hujung tahun ini.
Katanya, sejumlah 71,400 bakul Bakul Rahmah sudah diedarkan kepada penerima miskin tegar melalui 10 penyumbang utama, selain sebanyak 1,706 premis makan dan restoran melaksanakan Menu Rahmah, manakala 41 lokasi dengan 913 peniaga terlibat dengan pelaksanaan Bazar Ramadan Rahmah.
“Tuduhan bahawa saya tidak lagi fokus kepada agenda menangani kos sara hidup adalah tuduhan liar semata-mata memandangkan ini merupakan mesyuarat NACCOL pertama bagi tahun ini.
“Namun saya dibantu kedua-dua Timbalan Perdana Menteri melalui beberapa jawatankuasa lain iaitu Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan (JPP), selain NACCOL yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wilayah dan Desa, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah bersidang sebanyak dua kali,” katanya. – UTUSAN









