PETALING JAYA: Kira-kira 17,000 kakitangan perkeranian bank perdagangan di Semenanjung Malaysia dijangka menerima kenaikan gaji apabila perjanjian kolektif atau collective agreement (CA) mereka dijangka tamat selepas 16 bulan membuat rundingan aktif.
Memetik sumber The Malaysian Reserve, pekerja-pekerja itu juga akan menerima tunggakan gaji di bawah perjanjian yang meliputi tempoh antara 2021 dan 2023.
Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan Persatuan Bank-Bank Perdagangan Malaya (MCBA) telah mencapai kata sepakat dengan majlis menandatangani rasmi dijadualkan minggu depan setelah mereka menerima tawaran yang bagus.
Sumber itu bagaimanapun tidak mendedahkan butiran mengenai kenaikan gaji pekerja itu secara terperinci.
Setakat ini, Setiausaha Agung NUBE, J Solomon enggan mengulas mengenai perjanjian tersebut.
NUBE telah menjadualkan mesyuarat dalam talian bertajuk NUBE Roadshow – Details untuk kemas kini MCBA/NUBE CA ke-19, menurut butiran di laman webnya.
Menurut sumber itu, CA terbaru akan memperkenal satu klausa mengenai dialog sosial, yang membuka ruang antara bank berbincang dengan wakil kesatuan sekerja mengenai inisiatif yang akan memberi kesan kepada ahli mereka.
“CA ini tamat pada penghujung tahun. Perbincangan untuk perjanjian seterusnya sepatutnya lebih mudah kerana perjanjian ini amat memudahkan,” katanya.
Pada Januari 2019, satu CA telah termeterai dan menerusi perjanjian itu, pekerja perbankan menerima pelarasan gaji sebanyak 12 hingga 16 peratus, kenaikan tahunan tambahan untuk gaji maksimum dan bayaran pelarasan kos sara hidup sebanyak RM600.
Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan pinjaman perumahan pada kadar faedah 0 peratus untuk RM100,000 pertama, cuti agama untuk bukan Islam dengan perkhidmatan lebih daripada 10 tahun dan lanjutan cuti bersalin tambahan selama tiga bulan dengan separuh gaji. -UTUSAN










