12 program IPTA tidak relevan dilupus

12 program IPTA tidak relevan dilupus

Universiti Kebangsaan Malaysia adalah antara tiga universiti yang memohon kepada Kementerian Pengajian Tinggi bagi melupuskan program yang tidak lagi relevan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 permohonan dilakukan oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi melupuskan program yang ti­dak lagi relevan.

Permohonan dilakukan se­jak tahun lalu itu merangkumi tiga IPTA iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Ia melibatkan satu prog­ram ijazah sarjana muda, dua prog­ram peringkat diploma sis­wazah dan sembilan program peringkat ijazah sarjana.

Antara bidang yang terlibat dengan pelupusan program tersebut adalah sains koreksional, insurans dan psikologi sosial dalam pendidikan.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Prof. Datuk Dr. Norzaini Azman berkata, langkah tersebut diambil kerana program terlibat tidak lagi menepati keperluan pasaran.

Menurut beliau, pelupusan tersebut akan membantu IPTA mengoptimumkan sumber sedia ada bagi membangunkan program yang lebih berdaya saing dan memenuhi keperluan tenaga negara.

“Program-program akademik yang mohon dilupuskan adalah disebabkan oleh bebe­rapa faktor seperti mempu­nyai tahap kebolehpasaran gra­­­duan yang rendah (graduate employability).

“Malah, faktor lain adalah tiadanya permohonan pelajar untuk memasuki program tersebut, kurikulum program tidak relevan dengan perkembangan teknologi dan industri serta tidak lagi diperlukan oleh pasaran pekerjaaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Walau bagaimanapun, Norzaini menjelaskan, sebelum pelupusan diluluskan, permohonan daripada IPTA akan dibentangkan terlebih dahulu dalam Jawatankuasa Pendidikan Tinggi (JKPT) dengan melibatkan pelbagai agensi.

“JKPT yang akan mempertimbangkan secara terperinci setiap permohonan tersebut sebelum ia diluluskan atau ditolak.

“Keahlian JKPT terdiri daripada agensi-agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Talent Corp., Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Badan Profesional dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU),” katanya.

Pada 2019, JPT menggugurkan 38 program di 19 IPTA seluruh negara atas alasan sama, iaitu ia dilihat tidak lagi relevan dan mejanjikan peluang pekerjaan kepada bakal-bakal graduan daripada program tersebut.

Ditanya apakah kesan jika IPTA masih meneruskan program-program yang tidak lagi relevan, Norzaini berkata, impaknya dapat dilihat dari sudut penggunaan sumber tenaga pengajar.

“Apabila ada kursus tidak mencapai bilangan pelajar minimum ditetapkan akan memberi kesan kepada penggunaan sumber tenaga pengajar yang optimum khususnya di peringkat prasiswazah.

“Namun di peringkat pasca siswazah kursus yang mendapat jumlah pelajar minimum boleh diteruskan melalui mod penyelidikan. Pembelajaran berasaskan penyelidikan ini hanya memerlukan penyeliaan dan tidak melibatkan kelas atau tutorial. Justeru impak adalah minimal di peringkat pengajian pasca siswazah jika dibandingkan dengan prasiswazah,” jelasnya.

Sependapat dengan itu, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman mendedahkan, sejak 2016 pihaknya sudah melakukan penjumudan, beku dan lupus sebanyak terhadap 182 program.

Jelasnya, selain program-program tersebut diambil tindakan sedemikian kerana tidak relevan dan perlunya digantikan dengan ‘nafas baharu’ ia juga berpunca daripada program itu sudah dikonsolidasi.

“Antara contoh program tidak relevan ialah Sarjana Ortodontik dijumudkan dan diganti dengan program baharu iaitu Doktor Pergigian Klinikal (Ortodontik). Selain itu, Sarjana Muda Kesihatan Persekitaran dengan Kepujian turut diganti dengan program baharu iaitu Sarjana Muda Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan dengan Kepujian.

“Manakala, Doktor Pergigian Klinikal (Pergigian Pediatrik), Doktor Pergigian Klinikal (Pergigian Restoratif) dan Doktor Pergigian Klinikal (Periodontologi) diganti dengan Doktor Pergigian Pediatrik, Doktor Pergigian Restoratif serta Doktor Periodontologi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pelupusan itu wajar dibuat selepas setiap IPTA mendapat dapatan kajian pasaran yang dibuat secara berkala bagi memastikan graduan dihasilkan menepati keperluan industri.

Katanya, penamatan tawaran program oleh mana-mana IPTA dibuat berdasarkan kajian pasaran yang dilaksanakan dari semasa ke semasa iaitu dengan mengambil kira pandangan industri dan pemegang taruh lain.

“Melalui dapatan itu, pihak universiti akan membuat keputusan sama ada wajar atau tidak penamatan sesuatu program yang dahulu ditawarkan. Jika justifikasi tidak memberi kesan positif kepada pelajar dan perkembangan kerjaya mereka, maka program itu akan dihentikan pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN