Zuraida sukarela tandatangan bon RM10 juta - Saifuddin

Zuraida sukarela tandatangan bon RM10 juta – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL dan ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin menandatangani bon dengan PKR secara sukarela sebagai memenuhi syarat perjanjian sebagai calon parti sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bekas Naib Presiden parti itu bukan sahaja mempunyai pengetahuan penuh berhubung syarat tersebut malah tidak pernah mengemukakan sebarang bantahan terhadap perkara itu.

Menurut beliau, Zuraida mengetahui keperluan bahawa setiap ahli parti yang memenangi PRU perlu menandatangani bon yang mengikat mereka agar membayar RM10 juta sekiranya meletak jawatan, bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Ujar Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri, bon itu adalah kontrak sah kerana wujud ‘tawaran’ daripada PKR dan ‘penerimaan’ oleh Zuraida.

Beliau menyatakan demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pertama dalam perbicaraan saman PKR terhadap Zuraida bagi menuntut RM10 juta atas dakwaan melanggar kontrak bon apabila menyertai Bersatu susulan Langkah Sheraton pada akhir Februari 2020.

Ketika membacakan pernyataan saksi, Saifuddin berkata, beliau tidak menerima sebarang surat daripada Zuraida selepas bekas Naib Presiden PKR itu meninggalkan parti atau mendakwa bon ditandatangani di bawah tekanan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Zuraida juga merupakan ahli Biro Politik parti, kemudian menghadiri mesyuarat biro di ibu pejabat PKR pada 17 April 2018 untuk membincangkan persediaan berdepan PRU.

“Antara perkara dibangkitkan adalah manual untuk calon disediakan oleh setiausaha agung parti, yang mana diperincikan bahawa calon mesti menandatangani bon sebelum surat watikah calon dikeluarkan untuk bertanding pada pilihan raya,” katanya.

Saifuddin berkata, Zuraida bukan sahaja tidak membangkitkan apa jua bantahan dalam mesyuarat biro itu sebaliknya bersetuju keperluan syarat seumpama itu untuk ‘mengawal tingkah laku (calon)’.

Katanya, nilai RM10 juta itu dikenakan bagi menjaga imej parti yang ditubuhkan pada 1998.

Beliau berkata, PKR secara konsisten meraih sokongan ramai sejak PRU10 pada 1999 apabila parti dan rakan gabungan membentuk kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, dan Perak selepas PRU12, pada 2008.

Saifuddin tidak bersetuju dengan pihak defendan bahawa kontrak itu melanggar hak Zuraida untuk berpersatuan bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Sejak beliau menyertai Bersatu (selepas meninggalkan PKR), Zuraida bertanggungjawab untuk membayar nilai bon itu kepada parti,” katanya.

Saifuddin berkata, pembelotan wakil rakyat dipilih seperti Zuraida yang menyeberang ke Bersatu untuk membentuk gabungan baharu dan Kerajaan Persekutuan pada 2020, merupakan ancaman kepada demokrasi berparlimen.

Ujar beliau, berikutan pembelotan itu, parti kehilangan kelebihan mempunyai seorang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan seorang menteri Kabinet walhal Zuraida terus menikmati faedah sebagai Ahli Parlimen dan menteri di bawah parti Bersatu.

“Justeru adalah tidak adil untuk defendan kekal menikmati faedah berkenaan yang tidak akan dikecapinya jika bukan dengan perkhidmatan dan nama baik daripada PKR,” katanya.

Dalam penyataan tuntutan, PKR berkata, Zuraida menandatangani bon pada 25 April 2018, mengikatnya untuk membayar RM10 juta kepada parti seperti termaktub dalam terma dan syarat.

PKR berkata, Zuraida dikehendaki membayar dalam tempoh tujuh hari jika keluar parti, menyertai mana-mana parti politik atau menjadi Ahli Parlimen bebas.

PKR mendakwa, pada 24 Februari 2020 Zuraida mengumumkan keluar parti tanpa meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang dan selanjutnya membantu pembentukan gabungan politik baharu dikenali Perikatan Nasional.

Dalam prosiding hari ini, peguam Navpreet Singh mewakili PKR dan Saifuddin manakala Nizamuddin Hamid mewakili Zuraida.

Perbicaraan di hadapan Hakim Akhtar Tahir bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya