PETALING JAYA: Kumpulan popular Indonesia, D’Masiv memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi terakhir jelajah D’Masiv Asia Home Run sebelum melabuhkan tirai di Jakarta, dengan persembahan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada jam 8 malam, 20 November depan
Menerusi penganjuran Neptunes Presents, persembahan di Kuala Lumpur itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah kumpulan berkenaan yang turut meliputi Taiwan, Hong Kong dan Singapura.
Sebelum meneruskan jelajah di Asia, D’Masiv terlebih dahulu mengadakan siri persembahan di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun.
Vokalis D’Masiv, Rian Ekky Pradipta berkata, D’Masiv Asia Home Run bukan sekadar siri konsert, sebaliknya menjadi wadah untuk mengeratkan kembali hubungan kumpulan itu dengan peminat di luar negara.
Menurutnya, jelajah berkenaan turut membawa semangat yang membentuk perjalanan muzik D’Masiv sejak awal penubuhannya.
“Setiap perjalanan D’Masiv bermula di Indonesia, khususnya di Ciledug dan di situlah semangat yang kami ingin bawa ke Asia Home Run.
“Kami datang lagi untuk bertemu peminat di pelbagai negara dengan membawa kehangatan muzik serta tenaga yang menjadi nadi perjalanan kami.
“Kami berharap semasa konsert berlangsung, penonton dapat merasai keakraban, seolah-olah mereka sedang menikmati persembahan dalam keselesaan seperti di kediaman sendiri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
D’Masiv yang ditubuhkan pada 2003 dianggotai Rian selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall dan Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata (bass) serta Wahyu Piadji (dram).
Bagi konsert di Kuala Lumpur, tiket pra-jualan akan mula dijual pada 8 September ini, jam 10 pagi menerusi laman rasmi dmasivtour.com, manakala tiket Early Bird ditawarkan secara eksklusif kepada peminat yang melengkapkan pra-pendaftaran.
Kategori tiket merangkumi Festival (berdiri) pada harga RM188, Super VIP (RM588), Diamond (RM288), Platinum (RM148) dan Gold (RM108).
Pakej Super VIP turut menawarkan tempat duduk premium, laluan masuk pentas, sesi bergambar, barangan eksklusif, poster bertandatangan, tiket koleksi edisi terhad serta makanan ringan dan minuman.
Maklumat lanjut mengenai jelajah ini boleh didapati di akaun Instagram (IG) rasmi penganjur.










