KOTA KINABALU: Setiap kali menjelang Ramadan, pusara arwah bapa akan sentiasa diziarahi namun, tidak pada Ramadan tahun ini.
Ramadan kali ini, Mohd. Faridzulhelmy Abd Azis, 29, hanya mampu mengirimkan doa dari jauh buat arwah bapanya, Sarjan Abd Azis Sarikon yang terkorban akibat serangan hendap di Kampung Simunul Jaya, Semporna pada 2 Mac 2013.
Katanya, sudah 10 tahun mereka empat beradik bersama ibunya menjalani ibadah puasa dan Hari Raya Aidilfitri tanpa kehadiran bapa di sisi. Biar pun sudah lama masa berlalu, ketiadaan bapa setiap kali menjelang Ramadan dan Aidilfitri masih dirasai sehingga kini.
“Selepas ayah terkorban, sambutan Aidilfitri kami terasa sunyi. Kalau dahulu, biarpun bapa berada di lokasi operasi pada hari raya pertama tapi, dia tetap menghubungi ibu dan anak-anak.
“Itu sebabnya setiap awal Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, kami akan menziarahi pusara bapa di Batu 3, Semporna dan mengadakan kenduri tahlil untuk arwah bapa sebelum Ramadan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Faridzulhelmy kini sedang mengejar impiannya untuk menjadi juruterbang Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kini, dia satu-satunya waris kepada anggota keselamatan yang terkorban dalam Peristiwa Pencerobohan Tanduo menyertai pasukan keselamatan.
Anak sulung daripada empat beradik itu sedang dalam proses latihan mendapatkan lesen penerbangan dengan mengikuti Kursus Private Pilot License No. 19 sebagai pelatih juruterbang di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, Ipoh Perak.
Anak sulung daripada empat beradik itu sedang dalam proses latihan mendapatkan lesen penerbangan. Dia telah menamatkan Kursus Private Pilot License No. 19 sebagai pelatih juruterbang di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, Ipoh Perak.
“Sejujurnya insiden yang menimpa arwah bapa tidak sekali pun menjadi penghalang untuk saya meneruskan minat menjadi anggota PDRM. Biarpun arwah bapa pernah berpesan agar kami tidak menyertai pasukan keselamatan.
“Sebenarnya arwah bapa tidak menggalakkan kami empat beradik menjadi anggota keselamatan kecuali betul-betul minat kerana arwah tahu betapa sukar tugas sebagai anggota keselamatan,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, semasa latihan, dia turut ditugaskan sebagai Pegawai Penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur kira-kira dua tahun.
Mengulas lanjut katanya, selepas tamat latihan, dia ditugaskan sebagai Pegawai Penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur kira-kira dua tahun.
Seorang adiknya telah berumah tangga manakala, seorang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak manakala, adik bongsu baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).-utusan











