Wisma Putra perjelas jadual lawatan PM ke Saudi diatur rapi

Wisma Putra perjelas jadual lawatan PM ke Saudi diatur rapi

LAWATAN julung kali Perdana Menteri ke Arab Saudi menerima taraf tetamu penuh negara dengan kemudahan berstatus diraja. - FOTO FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Luar hari ini tampil menjelaskan bahawa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi diatur rapi lebih awal secara profesional berdasarkan prosedur operasi standard lawatan rasmi pemimpin ke luar negara.

Menerusi kenyataan, ia malahan menegaskan, delegasi Malaysia diberikan taraf tetamu negara penuh meliputi penyediaan kenderaan, penginapan dan tahap keselamatan.

“Ia berjalan lancar bermula dengan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah dengan iringan keselamatan oleh Saudi Royal Guard sendiri,” katanya.

Penjelasan itu dibuat susulan pelbagai isu dibangkitkan beberapa pihak yang cuba mahu memperlekahkan lawatan sulung pemimpin tersebut pada 22 Mac lalu termasuk Anwar tidak bertemu Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz dan Perdana Menteri, Putera Mahkota Mohamad Salman yang juga anakandanya di ibu kota Riyadh.

Mengulas lanjut, kenyataan Wisma Putra itu memaklumkan, isu dimainkan secara negatif itu adalah tidak adil dengan lebih bersifat spekulasi yang jauh menyimpang daripada fakta.

Bahkan menegaskan, pihaknya membuat persiapan awal meliputi siri perbincangan dengan Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur termasuk bertemu dutanya sendiri.

“Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir juga bertemu rakan sejawatnya, Putera Faisal Farhan di Riyadh pada 21 Februari lalu bagi menyelaraskan lawatan itu,” jelasnya.

Wisma Putra juga menyatakan, perbincangan turut dibuat Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dengan Kementerian Luar Arab Saudi dan beberapa pihak bagi menyusun jadual sekali gus menyerlahkan komitmen kesediaan pihak kerajaan Arab Saudi sendiri menerima dan menentukan program lawatan Anwar berjaya mencapai sasaran.

Berhubung isu konon hari kunjungan itu tidak sesuai kononnya pada awal Ramadan, ia menjawab bahawa, cadangan tarikh tidak pernah menjadi isu di pihak negara berkenaan.

Ia juga menerima Nota Diplomatik daripada Kedutaan Besar Arab Saudi pada 21 Mac yang mengesahkan jadual lawatan dan turut diterima Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh.

Nota itu merupakan komunikasi paling rasmi antara kerajaan dengan kerajaan serta Arab Saudi juga mengalu-alukan pelaksanaan umrah dan ziarah oleh Anwar di Tanah Suci.

“Kemudahan taraf diraja diperuntukkan semasa umrah dengan 50 anggota keselamatan mengiringi Perdana Menteri selain kemudahan ketika ziarah Madinah,” jelas Wisma Putra.

Delegasi Malaysia ujar kenyataan itu, turut menerima makluman supaya tempoh lawatan ditambah daripada jadual asal untuk pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Arab Saudi.

Walau bagaimanapun, permintaan itu tidak dapat dipenuhi dan dijelaskan secara baik kerana Anwar ada komitmen lain di tanah air sebelum melakukan lawatan ke Kemboja.

Namun, hasil lawatan itu telah meningkatkan hubungan dan kerjasama dua negara ke tahap lebih kukuh termasuk sesi pertemuan khas dengan ramai tokoh Islam tertentu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya