KOTA KINABALU: Biarpun pengaruh Warisan di kawasan pantai timur Sabah masih kuat, kelangsungan parti itu kini tergugat dengan tindakan seorang demi seorang wakil rakyatnya keluar parti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr. Romzi Ationg berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan keluar parti sudah semestinya memberi impak negatif terhadap parti tersebut.
Menurutnya, penurunan sokongan terhadap Warisan pasti akan berlaku kerana sebahagian pengundi tentu memberi sokongan terhadap ADUN di kawasan mereka.
“Sejarah politik Sabah menunjukkan mana-mana parti yang ADUN mereka keluar meninggalkan parti itu maka, parti berkenaan mungkin berhadapan krisis survival.
“Mungkin Warisan mempunyai kaedah menangani kemungkinan ini kerana parti ini masih berpengaruh di beberapa kawasan di Sabah khususnya kawasan pantai timur,” katanya.
Menurut Romzi, ADUN yang melompat biasanya dianggap sebagai golongan yang tidak wajar lagi untuk disokong dan bakal mengalami kesukaran mempertahankan kerusi masing-masing pada pilihan raya akan datang.
Berbeza pula dengan pandangan Penganalisis Kajian Pilihan Raya dan Geopolitik Borneo UMS, Dr. Syahruddin Awang Ahmad yang melihat Warisan masih berada dalam radar politik tanah air.
Katanya, kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima Warisan sebagai entiti dalam pemerintahan negara dan ia membuktikan Warisan masih kekal dalam radar politik di negara ini.
“Parti ini masih berada di landasan yang kukuh selagi kesemua peringkat kepimpinan kekal dengan misi dan visi perjuangan asal serta teguh meletakkan parti ini dalam landskap politik Sabah dan Malaysia.
“Justeru, saya melihat Warisan masih boleh bangkit dan memberikan saingan dalam arena politik khususnya pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, budaya lompat parti yang sedang berlaku di Sabah adalah kesan daripada ‘bandwagon effect’ iaitu apabila serang wakil rakyat melompat maka, wakil rakyat yang lain turut melakukan perkara yang sama.
Pada bulan ini sahaja, lapan ADUN Sabah iaitu empat daripada UMNO dan empat daripada Warisan keluar meninggalkan parti masing-masing untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang diterajui oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan berkemungkinan akan ada lagi ADUN akan mengikuti jejak langkah empat ADUN Warisan itu meninggalkan parti kerana sebelum ini terdapat laporan enam ADUN parti tersebut dikatakan akan keluar.
Sehingga kini, 10 ADUN Warisan telah keluar meninggalkan parti tersebut selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020. – UTUSAN










