Warga emas cedera ketika padam kebakaran rumah - Utusan Malaysia

Warga emas cedera ketika padam kebakaran rumah

ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah di Taman Indah Jaya di Teluk Intan hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang wanita warga emas cedera selepas tergelincir ketika memadam kebakaran di rumahnya di Taman Indah Jaya di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 65 tahun cedera di kepala dan diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 10.25 pagi.

Katanya, kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat atas rumah dua tingkat kelas A.

“Terdapat tiga beranak di dalam rumah itu ketika kejadian, di mana kita membawa keluar mangsa bersama suami dan anak lelakinya ke lokasi selamat.

“Mangsa bagaimanapun cedera di kepala selepas tergelincir ketika cuba memadamkan kebakaran bilik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, pasukan bomba segera melakukan pemadaman seterusnya membuat pemeriksaan menyeluruh kawasan kebakaran bagi memastikan tiada bahaya di lokasi kejadian.

Menurut beliau, anggaran kemusnahan kebakaran rumah adalah kira-kira 30 peratus.

“Kesemua mangsa diberi rawatan awal oleh EMRS dengan mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Operasi tamat pada pukul 11.32 pagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya