Usul kosong 4 kerusi DUN usaha lenyap suara pembangkang Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Usul kosong 4 kerusi DUN usaha lenyap suara pembangkang Pulau Pinang

DOMINIC LAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang menyifatkan tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang membawa usul untuk mengosongkan empat buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sidang DUN minggu depan sebagai usaha Pakatan Harapan (PH) menyekat arus perubahan yang dibawakan PN di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan PN Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, DAP dan UMNO ternyata takut dengan peningkatan sokongan rakyat kepada PN seperti yang berlaku ketika ini.

“Langkah zalim ini juga bertujuan melenyapkan suara pembangkang di Pulau Pinang menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Ini bakal mewujudkan sebuah kerajaan DAP-UMNO yang diktator tanpa semak dan imbang di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sidang DUN yang dijadual Isnin ini akan membentangkan satu usul bagi tujuan pengosongan empat kerusi DUN susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kesahihan klausa-klausa dan perkara-perkara di dalam Perlembagaan negeri yang melarang wakil rakyat melompat parti.

Ia melibatkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang).

Pada Ogos tahun lalu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan peruntukan di bawah enakmen anti lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Dominic, berikutan tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu juga, Khaliq Mehtab yang kini dilantik sebagai Ketua Pembangkang telah menghantar usul kepada DUN Pulau Pinang pada 20 Februari lalu bagi meminda Perkara 14A Fasal 1 Perlembagaan Pulau Pinang.

Ia katanya, berkenaan dengan undang-undang akta lompat parti supaya selari dan selaras dengan Akta Lompat Parti (Akta A1663) yang baharu diluluskan di Parlimen tahun lalu.

Jelas beliau, percanggahan besar di dalam undang-undang itu adalah berkenaan pemecatan wakil rakyat yang mana seorang Ahli Parlimen tidak akan hilang kerusi jika dipecat daripada partinya atau jika parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftaran.

“Kami berpandangan Pulau Pinang tidak boleh dilihat bercanggah dan bertentangan
dengan Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi negara.

“Namun, usul pembangkang ini telah ditolak oleh Speaker untuk dibahaskan pada dalam persidangan akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.