PETALING JAYA: Kurang simpanan hari tua dan keadaan ekonomi yang ‘mendesak’ menyebabkan ramai golongan warga emas terpaksa mengerah tenaga mereka demi kelangsungan hidup.
Dalam usia yang sepatutnya berada di rumah meluangkan masa bersama keluarga, mereka sebaliknya membanting tulang melakukan pekerjaan seperti tukang cuci, penghantar makanan malah sebagai pekerja restoran makanan segera untuk menyara kehidupan.

Utusan Malaysia difahamkan, tahun lalu jumlah pekerja bagi mereka yang berusia antara 55 hingga 64 tahun adalah seramai 1.2 juta orang iaitu 7.7 peratus daripada jumlah pekerja di seluruh negara sekitar 15.7 juta.
Perkara ini membimbangkan memandangkan Malaysia sedang menuju kepada negara tua yang mana 15 peratus daripada masyarakatnya bakal mencapai usia 60 tahun pada 2030.
Jika dilihat kepada jumlah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula, rata-rata yang berusia 40 hingga 54 tahun pada hari ini mempunyai kurang RM10,000.

Pensyarah Ekonomi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Saidatulakmal Mohd. berkata, kebanyakan golongan warga emas yang masih bekerja adalah daripada kumpulan pekerjaan tidak formal.
“Bagi golongan tersebut tiada istilah umur persaraan. Mereka yang bekerja di sektor pertanian sebagai contoh, masih perlu meneruskan aktiviti bertani untuk pendapatan walaupun tahap kekuatan fizikal semakin lemah sehingga mengganggu perjalanan aktiviti tetapi kerja perlu diteruskan atas beberapa sebab.
“Antaranya tidak mempunyai skim persaraan formal seperti KWSP atau pencen yang boleh dijadikan jaringan keselamatan di hari tua. Oleh itu harus meneruskan aktiviti mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Katanya, golongan tersebut juga dilihat enggan membebankan anak-anak mereka ketika persaraan kerana masih mampu mencari wang untuk menyara hidup sendiri walaupun sudah lanjut usia.
Sementara itu, pakar sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berpendapat, anak-anak tidak sepatutnya membiarkan ibu bapa mereka bekerja dengan hasrat ‘menyara diri’ kerana bercanggah dengan budaya dan ajaran masyarakat serta agama di Malaysia.
“Mewakili masyarakat Melayu dan Islam, ia sangat ‘luar biasa’ apabila kita membiarkan ibu bapa yang sudah tua melakukan pekerjaan demi meneruskan kelangsungan hidup. Jika kita lihat jenis pekerjaan mereka lakukan memang tidak wajar kerana memerlukan komitmen tenaga yang tinggi, malah terdedah dengan risiko bahaya,” katanya.
Mohammad Shatar turut mendedahkan terdapat golongan yang mengeksploitasi warga emas demi keuntungan iaitu menggunakan kumpulan tersebut menjual produk bagi meraih simpati daripada pembeli.
“Baru-baru ini saya berjumpa dengan seorang mak cik berusia 68 tahun yang menjual kerepek dan pelbagai lagi. Apabila saya tanya satu peket dia jual RM20 tetapi komisen untuknya hanya RM2. Malah memaklumkan pada saya yang ada van menghantar dirinya dengan rakan-rakan lain,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, sudah tiba masa masyarakat Malaysia mempunyai gaji yang progresif, iaitu ‘gaji kehidupan’ bagi memastikan simpanan pada hari tua mencukupi.
“Selain itu sudah tiba masa kita lakukan reformasi dengan mewujudkan satu skim pencen bagi pekerja swasta. Kerajaan, majikan dan pekerja perlu berbincang untuk perkara ini kerana ia amat baik untuk jangka panjang memandangkan Malaysia pun sedang menuju ke negara tua,” katanya.
SANGGUP LAKUKAN APA SAHAJA PEKERJAAN UNTUK TERUS SARA KELUARGA
Terdapat dalam kalangan warga emas yang sanggup bergelumang dengan bau busuk mengutip bahan terbuang daripada tong sampah untuk dijual bagi mendapatkan wang saku harian.
Dengan usia melebihi tahap persaraan, mereka tidak lagi sesuai diupah oleh majikan untuk bekerja sedangkan tanggungjawab sebagai ketua keluarga mesti dipenuhi.
Seorang warga emas, Musa Rafie, 76, daripada Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah, berkata, dia menjadikan tong sampah untuk mengutip bahan terbuang sebelum dijual sebagai punca pendapatan hariannya sejak lebih 10 tahun lalu.
“Kudrat dan kesihatan tidak lagi mengizinkan saya melakukan kerja berat tetapi saya tidak ada punca pendapatan lain untuk menyara isteri, seorang anak yang mengidap kanser payu dara dan seorang anak yang masih bersekolah.
“Mahu tidak mahu ini sahaja kerja yang sesuai dengan umur saya kerana ia tidak memerlukan modal selain boleh dilakukan sepanjang masa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysi.
Kata Musa, dia juga perlu mencari pendapatan sendiri dan tidak boleh mengharapkan semata-mata bantuan daripada dua anaknya yang telah berumah tangga kerana mereka turut mempunyai tanggungan sendiri.

Bagi Mat Ali Mat Hassan, 63, yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu, dia perlu bekerja untuk menyara hidup bersama seorang isteri dan seorang anak yang belum berumah tangga.
“Tanpa pendidikan tinggi saya terpaksa melakukan apa sahaja kerja sejak lebih 20 tahun lalu untuk meneruskan kelangsungan hidup. Sebaik sahaja tamat sekolah, saya bekerja sebagai operator tetapi kilang itu ditutup kerana pemiliknya mengalami kerugian sehingga saya juga hilang punca pendapatan tetap,” katanya.
Kata Mat Ali, sejak itu dia melakukan pelbagai kerja seperti buruh kasar, pekerja kontrak dan kini sebagai pembantu sebuah kedai kimpalan dengan upah harian untuk membolehkannya menyara keluarga.
Ang Chong Yew, 65, yang tidak berkahwin pula berkata, walaupun pernah menjalani pembedahan di leher kerana mengidap kanser selain mempunyai penyakit ‘tiga serangkai’, dia terpaksa bekerja untuk menyara ibunya yang sakit dan memerlukan perhatian.
“Kami hidup dua beranak selepas bapa meninggal tujuh tahun lalu dan sebagai anak tunggal saya perlu mencari wang untuk belanja harian dan menanggung kos ubat-ubatan ibu kerana tidak mendapat sebarang bantuan bulanan daripada mana-mana pihak,” katanya.
‘SELAGI ADA KUDRAT, SAYA TERUS CARI REZEKI SEBAGAI TUKANG KASUT’
Bagi Md. Yatim Kamarudin dari Kangar, Perlis yang sudah hampir menjengah usia emas, dia terus mencari rezeki sebagai tukang kasut bagi meneruskan kehidupan seharian dalam keadaan serba mencabar ini.
Dengan pendapatan sekitar RM50 hingga RM100 sehari dan kadangkala pernah pulang dengan tangan kosong, Md. Yatim, 58, tidak mengalah sebaliknya terus berusaha mencari rezeki melalui kerja itu.
Malah dia yang sebelum ini pernah bekerja sebagai kakitangan di sebuah hospital tiada pilihan dalam menampung perbelanjaan menuju ke usia emas tersebut memandangkan banyak wang simpanan KWSP dikeluarkan semasa pandemik Covid-19 sebelum ini.
Katanya, ketika ini, dia tinggal bersama isteri dan anak bongsunya yang bekerja di salah sebuah restoran makanan segera di sini.
“Kena kerja juga untuk cari makan dan selagi saya masih sihat saya meneruskan kerja ini. Kadangkala terasa penat juga namun saya perlu mencari rezeki. Bolehlah menyimpan sikit-sikit hasil kerja menjahit kasut ini.
“Masa Covid-19 sebelum ini kedai tidak boleh buka, masa itu kita keluarkan wang simpanan KWSP untuk perbelanjaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Jalan Panglima, Kangar.
Sementara itu, seorang pekerja pembersihan yang hanya dikenali sebagai Pak Hamid, 71, berkata, dia bekerja sebagai tukang cuci sudah lebih 10 tahun bagi mencari pendapatan.
Katanya, meskipun di usia lanjut namun dia lebih suka melakukan pekerjaan daripada tidak berbuat apa-apa di rumah.
TETAP BEKERJA DEMI PELAJARAN ANAK
Menjadi atendan di sebuah stesen minyak di bandar Teluk Intan, Perak menjadi pekerjaan yang sesuai dengan usia lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Zaki ini.
Dia terus bekerja untuk menyara keluarga, namun lebih penting mahu menanggung perbelanjaan pengajian anaknya yang berjaya memasuki sebuah universiti.

Menurut Zaki, 61, walaupun sudah berusia, dia tetap bersemangat bekerja meskipun hanya sebagai atendan stesen minyak demi pengajian anaknya.
Katanya, dengan pekerjaannya yang tidak menentu sejak muda, dia tidak dapat untuk membuat simpanan hari tua seperti orang lain.
“Saya bersyukur kerana masih dapat bekerja dengan cukup semangat untuk keluarga dan lebih penting menyara anak yang berjaya menyambung pengajian ke universiti.
“Kejayaannya ini membuatkan saya bersemangat mencari duit bagi keperluannya, saya akan terus menyokong dan membantunya sehingga dia habis belajar,” katanya.
Menurutnya, walaupun gajinya tidak seberapa, pekerjaan itu memberikan dia sumber kewangan untuk keluarga dan anaknya sedang belajar di universiti. – UTUSAN










