Usaha mencari, siasat MH370 tidak pernah dihenti

Usaha mencari, siasat MH370 tidak pernah dihenti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha mencari atau menyiasat tragedi yang pernah menggemparkan dunia, pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 sembilan tahun lalu tidak sesekali dihentikan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, Kerajaan Malaysia tidak pernah melupakan tragedi berlaku pada 8 Mac 2014 itu dan akan menyambung semula operasi pencarian bagi mengesan lokasi terakhirnya jika terdapat maklumat baharu boleh dipercayai.

Katanya, Rabu ini adalah ulang tahun kesembilan tragedi penerbangan MH370 hilang tanpa jejak yang telah meninggalkan seribu tanda tanya kepada ahli keluarga mangsa mengenai apa yang sebenarnya menimpa pesawat malang itu.

“Tiada ucapan atau rasa simpati yang mampu mengubati atau memadam kesedihan serta kesengsaraan ahli keluarga 239 penumpang dan anak kapal MH370 yang kehilangan orang tersayang.

“Rakyat Malaysia akan sentiasa bersama anda dan berkongsi beban kesengsaraan ini. Kami menghormati semua nyawa yang terkorban dan tidak akan pernah melupakan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 8 Mac 2014, pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China namun hilang daripada skrin radar dua jam kemudian.

Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di kawasan berkeluasan berjuta-juta kilometer persegi di selatan Lautan Hindi namun pesawat MH370 atau bangkainya gagal ditemukan sehingga kini.

Semalam, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap mampu merungkai misteri kehilangan pesawat MH370 yang membelenggu waris kepada 239 penumpang dan anak kapal sejak 8 Mac 2014.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Selamat Omar, 70, bapa kepada Mohd. Khairul Amri berkata, dalam tempoh misteri itu, kerajaan dan Perdana Menteri bersilih ganti namun waris terus dibiar tertanya-tanya apa sebenarnya yang menimpa pener­bangan ke Beijing, China itu.

“Kini Anwar menjadi Perdana Menteri, saya harap beliau dapat merungkai isu ini seperti mana beliau pernah cakap pada 2014 yang mana Malaysia sepatutnya berkemampuan mengesan pesawat MH370.

“Apa yang saya ingin tahu, perkembangan dan status kejadian ini. Sebab apa MH370 hilang? Sama ada ia jatuh atau ditembak?

“Kita ingin tahu perkara sebenar. Ini kerana kejadian misteri ini bukan baharu tetapi sudah sembilan tahun,” katanya ketika dihubungi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN