UiTM terbit modul penjagaan kesihatan mental - Utusan Malaysia

UiTM terbit modul penjagaan kesihatan mental

UiTM
RADUAN Che Rose mengangkat buku Modul Kesihatan dan Kewarasan @ Uni pada majlis pelancarannya sempena Minggu Destini Siswa di UiTM Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerbitkan Modul Kesihatan dan Kewarasan @ Uni bagi memperkasakan kesihatan diri dan minda mahasiswa universiti.

Malah, institusi itu muncul sebagai universiti awam pertama mengeluarkan modul tersebut selepas menyedari peningkatan masalah kesihatan mental di seluruh dunia terutama melibatkan generasi belia.

Pengerusinya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, penghasilan modul tersebut diharap dapat difahami mahasiswa agar memberikan tumpuan tidak berbelah bahagi untuk mencapai kecemerlangan akademik disamping menggunakan seluruh ekosistem UiTM.

Menurutnya, jika peluang itu diambil sepenuhnya, mahasiswa mampu muncul sebagai well rounded personality umpama ‘jika dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung’.

“Modul hasil inisiatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) dan Bahagian Hal Ehwal Islam (BHEI) ini memberi panduan cara untuk mengekalkan tahap kesejahteraan dan kesihatan secara menyeluruh melalui empat komponen utama kesihatan iaitu biologikal, psikologikal, sosial dan spiritual.

“Turut disertakan di dalam modul ini adalah maklumat lengkap berkaitan perkhidmatan dan fasiliti kesihatan di dalam dan luar universiti serta rawatan, sokongan dan bantuan yang boleh diperolehi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Raduan lagi, modul tersebut dilancarkan pada Khamis minggu lalu pada program Minggu Destini Siswa (MDS) UiTM yang bertemakan ‘Minda Sihat Pemacu Transformasi’.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Dr. Mohd. Sazili Shahibi memaklumkan, penerbitan modul tersebut melibatkan 17 penulis di bawah penyelarasan Pakar Perunding Psikiatri di Jabatan Psikiatri Hospital Al-Sultan Abdullah.

Menurutnya, buku tersebut mendapat tajaan penerbitan sebanyak 300 naskhah oleh Pfizer dan akan diedarkan dekat perpustakaan semua cawangan UiTM di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya