Tun M kena berlaku adil, 100 hari bukan nilai prestasi sebenar

Tun M kena berlaku adil, 100 hari bukan nilai prestasi sebenar

SALAHUDDIN Ayub menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah kepada penerima di AEON Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) menyifatkan kritikan Tun Dr. Mahathir bahawa Kerajaan Perpaduan tiada apa-apa kesan selepas 100 hari berkuasa sebagai tidak adil.

Naib Pengerusinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, meskipun amat hormat kepada negarawan itu, namun pandangan tersebut dianggap tidak wajar dalam situasi semasa.

“Saya berasa patut beri peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perlu berlaku adil kerana tempoh 100 hari bukan had masa bagi nilai prestasi sesebuah kerajaan,” katanya selepas merasmikan Raya Rahmah di cawangan terbaharu pasar raya Aeon di sini hari ini.

Sabtu lalu, Mahathir ketika sesi Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang menyelar 100 hari pertama Kerajaan Perpaduan sebagai gagal membawa perubahan kepada rakyat, bahkan menggambarkan Perdana Menteri cuma pandai bercakap tanpa apa-apa tindakan untuk rakyat.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara berkata, ketika PH berkuasa selama 22 bulan lalu Mahathir sendiri menghadapi banyak kesukaran, malah tiga bulan pertama pemerintahannya banyak masalah besar timbul seperti isu perkauman dan keagamaan.

Beliau merujuk insiden kejatuhan bekas Pengerusi PH itu akibat drama ‘rampasan kuasa’ menerusi Langkah Sheraton 2020 yang juga didalangi orang kepercayaannya sendiri.

Justeru, Salahuddin memohon Mahathir memberi masa yang secukupnya kepada Anwar tetapi pada masa sama, beliau masih terbuka menerima sebarang kritikan dari pihak luar.

Menyentuh kestabilan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk atas titah Yang di-Pertuan Agong bagi menamatkan kemelut politik tanah air, beliau tetap optimis blok itu masih lagi kukuh, namun  berharap tidak akan berlaku sekali lagi episod ‘kudeta’ menerusi sebarang langkah penggulingan kuasa oleh mana-mana kelompok selepas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.