Tubuh unit khas bagi lonjak sektor pelancongan negeri - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Tubuh unit khas bagi lonjak sektor pelancongan negeri – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) menerima Titah Ucapan Diraja daripada Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli (kiri) sewaktu Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di Kompleks DUN negeri, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri disaran menubuhkan satu unit khas pelancongan atau dikenali sebagai Perlis Tourism Board bagi melonjakkan sektor berkenaan di negeri ini.

Penubuhan unit khas itu dilihat mampu menggerakkan pembangunan sektor pelancongan di Perlis untuk berada pada tahap yang lebih baik.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, negeri ini tidak mempunyai badan khas yang menguruskan hal ehwal pelancongan malah semua inisiatif atau penggerak sektor itu dibuat secara kolaboratif antara jabatan atau agensi bersama orang awam.

“Beta juga difahamkan bahawa kerajaan negeri kini sedang dalam proses menyediakan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Wang Kelian yang akan bertindak sebagai asas pembangunan kepada kawasan itu.

“Dalam hal ini, beta yakin pembangunan yang akan dibuat kelak akan merancakkan semula ekonomi sempadan kawasan tersebut,” titah baginda bersempena Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di Kompleks DUN negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, bagi menjayakan Tahun Melawat Perlis tahun hadapan, kerajaan negeri perlu membuat persiapan rapi dari semua aspek bagi memastikan pelaksanaanya mencapai objektif dikehendaki.

Titah baginda, persiapan teliti itu perlu dilakukan dalam memastikan kemudahan infrastruktur yang baik, jaminan kebersihan dan penambahbaikan dilakukan oleh pemain industri terhadap kemudahan serta produk masing-masing.

“Kegagalan kerajaan negeri dalam perkara ini dikhuatiri akan menjejaskan imej negeri serta memberi perspektif yang kurang baik dalam kalangan pengunjung,” titahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Tuanku Syed Faizuddin bertitah agar kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan permohonan-permohonan jabatan dan agensi berhubung prasarana serta operasi keselamatan di kawasan sempadan negeri ini.

Titah baginda, pertimbangan yang akan diberikan berhubung perkara ini dapat membantu dalam mengurangkan risiko aktiviti jenayah di kawasan sempadan membabitkan Kuala Perlis, Padang Besar dan Wang Kelian.

“Di kesempatan ini, beta juga berterima kasih kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana menjayakan projek rintis larangan jualan minyak RON95 bersubsidi serta diesel ke atas kenderaan asing di pasaran negara di Perlis bermula pada Februari sehingga Mei.

“Pendekatan ini dilihat akan mengurangkan aktiviti penyeludupan bahan bakar tersebut ke negara jiran,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya