TNB serah zakat perniagaan berjumlah RM319,464.18 melalui MAIPs - Utusan Malaysia

TNB serah zakat perniagaan berjumlah RM319,464.18 melalui MAIPs

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) berkenan menerima sembah mok cek pembayaran zakat oleh TNB melalui MAIPs dalam majlis di Masjid As-Shahrani Behor Lateh, Kangar, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan zakat perniagaan berjumlah RM319,464.18 kepada negeri Perlis melalui Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Peruntukan zakat itu adalah berdasarkan jumlah pendapatan dan keuntungan operasi syarikat itu pada tahun 2021.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Indera Ir Baharin Din berkata, setakat ini, jumlah pembayaran zakat oleh syarikat itu buat negeri Perlis adalah berjumlah RM5.2 juta bagi tempoh 2016 sehingga 2021.

“Pada tahun 2021, TNB telah memperuntukkan wang zakat berjumlah RM14.06 juta untuk diagihkan kepada semua negeri-negeri di semenanjung Malaysia.

“Pecahan pengagihan wang zakat perniagaan TNB ini adalah berdasarkan kepada 60 peratus jumlah bagi fakir miskin di setiap negeri, 20 peratus jumlah pengguna dan 20 peratus lagi daripada kapasiti penjanaan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan TNB Peringkat Negeri Perlis di Masjid As-Shahrani Behor Lateh.

Dalam majlis itu, Baharin turut mempersembahkan mok cek pembayaran zakat berkenaan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama sewaktu majlis berkenaan adalah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Di samping itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan bagi menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 140 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Kampung Behor Lateh dan Kampung Bangsal Lebah di mana masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM700.

Mengulas lanjut, Baharin berkata, TNB percaya zakat bukan sahaja dapat membantu menjana pertumbuhan ekonomi negeri ini malah pengurusannya secara efisien dan sistematik dapat melonjakkan potensi zakat sebagai instrumen pembangunan rakyat Perlis.

“Sesungguhnya sokongan Tuanku Syed Faizuddin telah mencetuskan semangat kepada warga kerja TNB untuk terus menyalurkan perkhidmatan terbaik buat masyarakat khususnya kepada rakyat negeri Perlis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya