Puteri Sarah tuntut hak penjagaan penuh anak

Puteri Sarah tuntut hak penjagaan penuh anak

PUTERI Sarah Liyana Megat Kamaruddin hadir bagi memfailkan hadanah di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Episod baharu kemelut rumah tangga Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana hari ini membabitkan hak penjagaan dua anak mereka.

Sarah atau nama penuhnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin hari ini menuntut hak penjagaan penuh Syaikul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Sekiranya permohonan Sarah itu dibenarkan, suaminya, Syamsul Yusof hanya boleh mendapat hak lawatan dan bermalam.

Permohonan hadanah itu difailkan kira-kira pukul 11 pagi di kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Sarah hadir bersama anak-anaknya sebelum ditinggalkan buat seketika di dalam kereta dengan penjaganya sementara wanita itu memfailkan permohonan tersebut.

Ketika ditemui media, Sarah menyatakan beliau memutuskan untuk memfailkan permohonan tersebut semalam selepas ‘memikirkannya secara tiba-tiba’.

“Sebab semalam pun tiba-tiba, kita semua pun main ‘tiba-tiba’,” katanya.

Sementara itu, peguam syarie Puteri Ummi Kartini Abd. Latiff yang mewakili Puteri Sarah berkata, permohonan hadanah itu difailkan mengikut Seksyan 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

“Seksyen itu memperuntukkan ibu adalah yang paling berhak daripada segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan,” katanya.

Tambah peguam syarie itu, pihaknya kini menunggu peluang untuk menyerahkan permohonan itu kepada Syamsul atau peguam lelaki itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai saman dan tuntutan nusyuz yang difailkan oleh Syamsul semalam, Puteri Ummi Kartini memaklumkan pihaknya masih belum menerima sebarang dokumen berhubung perkara itu.

“Kita akan menjawab selepas mengkaji apa tuntutan yang diminta kerana setakat ini pihak kami masih belum terima saman dan tuntutan berkenaan,” kata Puteri Ummi Kartini.

Semalam, Syamsul memfailkan saman dan tuntutan nusyuz terhadap Sarah atas empat alasan.

Antara alasan yang dikemukakan dalam permohonan tersebut ialah Sarah masih berhubung dengan bekas kekasihnya di zaman kolej dan telah memfitnah Syamsul.

Jika disabitkan dengan nusyuz, Sarah tidak berhak mendapat sebarang nafkah dari mula kejadian nusyuz itu berlaku.

Pada 16 Januari lalu, Sarah  memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap suaminya atas alasan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) dantidak lagi hidup sebagai suami isteri.

Permohonan cerai itu dibuat mengikut  Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Bagaimanapun, Syamsul enggan melafazkan talak pada prosiding yang dijalankan pada 7 Mac lalu.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan pasangan itu melantik wakil masing-masing yang akan menjadi sebahagian daripada Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi mencari jalan penyelesaian.

Hakim Syarie, Akmaluddin Ilyas menetapkan 10 April ini untuk sebutan semula permohonan cerai itu bagi mendapatkan laporan JKP itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya