Tiada laluan khas dapat tauliah berceramah di Selangor - Utusan Malaysia

Tiada laluan khas dapat tauliah berceramah di Selangor

MAIS
ABDUL AZIZ MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiada laluan khas diberikan kepada mana-mana penceramah yang mahu atau dijemput mendapat tauliah untuk mengajar agama Islam sama ada memberi kuliah, ceramah atau tazkirah di negeri ini jika tidak mematuhi syarat ditetapkan.

Malah, penceramah di negeri ini perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) termasuk melalui proses ujian bertulis dan temuduga serta mendapat kelulusan melalui Jawatankuasa Pentauliahan yang bersidang empat kali setahun.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, syarat-syarat permohonan mendapatkan tauliah termasuklah pemohon perlu berakhlak dengan akhlak Islam.

“Bukan terlalu susah terutamanya mestilah beragama Islam, berusia 18 tahun ke atas, sihat badan dan akal, tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah, mempunyai pengetahuan tentang agama Islam sekurang-kurangnya empat sanawi, mendapat kebenaran bertulis dari majikan dan pemastautin Selangor.

“Untuk mendapatkan tauliah boleh berceramah di surau dan masjid di Selangor ada prosedurnya, boleh memohon. Kita ada jawatankuasa tauliah, jadi kalau tiada (memenuhi syarat), tak bolehlah, as simple as that,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, dua penceramah bebas terkenal Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Wadi Anuar masing-masing yang sepatutnya menyampaikan kuliah dekat Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam serta Padang Astaka, Tanjong Karang dibatalkan.

Pembatalan tersebut diputuskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas kedua-dua figura itu tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama Islam di negeri ini.

Dalam pada itu, Abdul Aziz turut memaklumkan permohonan tauliah berkenaan mempunyai kategori tertentu dan tempoh kelulusannya berbeza mengikut pecahan tersebut termasuk melalui tapisan keselamatan.

“Lama atau tidak permohonan itu bergantung kepada kompleksiti pemohon itu, kalau semuanya teratur mengikut syarat-syarat ditetapkan, lulus ujian bertulis dan temuduga, tiada masalah.

“Bila lulus proses temuduga, ada tapisan keselamatan dibuat. Tiada unsur-unsur jenayah atau maklum balas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kemudian baru kita bawa ke jawatankuasa (untuk diteliti),” jelasnya.

Malah beliau menjelaskan, masih terdapat kebenaran khas dimohon diberi melalui JAIS seperti penceramah dikenali umum dari luar negara, namun ia masih perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.