Parlimen: Tiada halangan syarikat penerbangan tetap prosedur berlandaskan syariah - Utusan Malaysia

Parlimen: Tiada halangan syarikat penerbangan tetap prosedur berlandaskan syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mempunyai halangan kepada mana-mana syarikat penerbangan untuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) penerbangan berlandaskan patuh syariah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu terpulang kepada syarikat penerbangan untuk melaksanakan atau bertindak sebaliknya.

“Dari segi pematuhan syariah dan sebagainya, ia terpulang kepada mana-mana syarikat penerbangan.

“Kementerian Pengangkutan tidak ada masalah dan tiada halangan kepada mana-mana syarikat penerbangan nak mengadakan apa-apa pendekatan yang patuh syariah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Pasir Salak) yang bertanyakan usaha kerajaan bagi menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan menetapkan SOP penerbangan berlandaskan syariah.

Ia bertentangan dengan soalan asal yang sepatutnya meminta menteri menjawab berhubung peranan kementerian bagi memastikan Projek Kedah Aerotropolis diteruskan demi meningkatkan aktiviti ekonomi di selatan Kedah.

Tindakan tersebut ditegur Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor dengan berkata, ahli Dewan Rakyat tidak sepatutnya mengajukan soalan tambahan yang tiada kaitan dengan soalan lisan semasa persidangan berlangsung.

Jika berbuat demikian, tegas Ramli, menteri boleh memilih untuk tidak menjawab soalan tersebut.

“Ingin saya ingatkan ahli Dewan apabila soalan lisan, soalan tambahan dan berikutnya hendaklah ada kaitan. Jika tidak ada kaitan, menteri boleh memilih tidak menjawab pun dan saya benarkan tidak menjawab.

“Ambil maklum kepada mereka yang baharu dalam Dewan dan yang lama juga sebagai satu ingatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN