Terengganu tidak larang masjid, surau jemput imam import - Utusan Malaysia

Terengganu tidak larang masjid, surau jemput imam import

AHMAD Samsuri Mokhtar (tiga, kanan) beramah mesra dengan imam dan bilal selepas majlis penyampaian bantuan tunai sekali bayar kepada Imam dan Bilal di Bawah Skim Mubaligh di Kuala Terengganu, hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Kerajaan negeri Terengganu tidak melarang  pengurusan masjid dan surau di negeri ini menjemput imam ‘import’ dari  luar negara untuk mengimamkan solat sunat tarawih pada bulan Ramadan ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, imam terbabit hanya perlu memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebelum menjalankan tugas tersebut.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita tidak ada masalah untuk mana-mana masjid atau surau menggunakan khidmat imam dari luar.

“Bagaimanapun, ia perlulah mendapat kebenaran Maidam untuk menepati syarat dan kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan  bantuan tunai sekali bayar kepada Imam dan Bilal di Bawah Skim Mubaligh  di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. 

Seramai 141 imam dan bilal yang bertugas di seluruh Terengganu menerima bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM200 seorang membabitkan peruntukan berjumlah RM28,200 melalui insentif tersebut.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat masjid dan surau di Malaysia menggunakan khidmat imam ‘import’ kerana bacaan yang merdu dan bacaan satu juzuk al Quran untuk setiap malam. 

Ahmad Samsuri menambah, pada masa ini, pihaknya belum menerima laporan jumlah imam dari luar negara yang memohon tauliah berkenaan.

“Jumlah permohonan atau yang diluluskan juga ada dalam pengetahuan MAIDAM kerana mereka yang menguruskan perkara tersebut,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Selangor menyekat imam luar negara untuk menjadi imam solat tarawih di masjid dan surau seluruh negeri itu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pendekatan itu bagi memberi laluan sepenuhnya kepada graduan tahfiz tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya