Terengganu perkenal tiga kategori zakat fitrah - Utusan Malaysia

Terengganu perkenal tiga kategori zakat fitrah

SHAIKH Harun Shaikh Ismail (kiri) menunjukkan sistem e-Amil yang diperkenalkan untuk bayaran zakat selepas majlis Multaqa Amil Zakat Negeri Terengganu 2023 di Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kadar zakat fitrah di Terengganu pada tahun ini ditetapkan tiga kategori iaitu mengikut jenis beras yang dimakan.

Sebelum ini, Terengganu hanya menetapkan satu kadar zakat fitrah iaitu RM7 bagi setiap individu Islam berkemampuan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kategori pertama yang diperkenalkan ialah sekurang-kurangnya RM8 bagi mereka yang menggunakan beras tempatan biasa.

Menurutnya, mereka yang makan beras Super Import (Siam) pula kadar ditetapkan ialah RM10 seorang.

“Kadar zakat fitrah bagi individu yang menggunakan beras premium seperti Basmathi pula ialah RM24 seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada selepas merasmikan Multaqa Amil Zakat Negeri Terengganu 2023 di Taman Tamadun Islam di sini, hari ini.

Shaikh Harun berkata, penetapan kadar zakat itu berdasarkan kepada harga beras semasa mengikut gred dan jenis pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.

“Zakat fitrah tersebut boleh dilunaskan di kaunter bayaran zakat Maidam dan 954 amil yang dilantik di seluruh Terengganu.

“Kita menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM10 juta iaitu peningkatan berbanding RM8 juta pada tahun lalu,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, pada majlis itu, Shaikh Harun turut melancarkan sistem e-Amil dalam usaha mendigitalisasikan kutipan zakat di negeri ini.

Jelas beliau, antara ciri sistem tersebut ialah resit rasmi zakat akan dihantar secara digital kepada pembayar menerusi telefon bimbit dan e-mel.

“Tiada lagi penggunaan buku resit fizikal. Amil dilantik juga boleh menyebarkan kod QR (respons pantas) bagi membolehkan individu membayar zakat tanpa bersemuka.

“Pelaksanaan sistem e-Amil ini yang turut meliputi transaksi zakat harta akan bermula pada 1 Ramadan ini, katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya