Teknologi kesihatan benteng pertahan negara MADANI

Teknologi kesihatan benteng pertahan negara MADANI

Kekukuhan dan keanjalan sistem kesihatan kebangsaan yang kini menjadi institusi kritikal negara perlu dilindungi dan diperkasakan demi kedaulatan rakyat dan bangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia kini merupakan sebuah negara maju dengan ekonominya bernilai tinggi, sistem politik semakin matang dan kebudayaan masyarakat bertamadun dan disegani. Namun, bukan jaminan kedaulatannya bebas dari ancaman.

Masuk tahun keempat sejak wabak pandemik Covid-19, tindak balas global masih tidak konsisten dan terbantut akibat ketaksamaan capaian teknologi kesihatan dan perkhidmatan klinikal.

Perkembangan sebegini membawa kepada idea menilai semula kerangka undang-undang antarabangsa tentang wabak penyakit berjangkit merentasi sempadan dikenali sebagai Peraturan-peraturan Kesihatan Antarabangsa 2005 atau International Health Regulations (IHR).

IHR memberi dan menghadkan kuasa kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk hanya mengendalikan sistem survelans penyakit di peringkat global, tetapi mengekalkan hak menentu kebebasan perdagangan dan pergerakan penduduk kepada negara masing-masing.

Barat mendesak supaya IHR ditukar kepada Perjanjian Pandemik Antarabangsa, supaya mereka berkuasa menentukan polisi kawalan wabak pandemik kepada WHO. Ini dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara lain.

Di peringkat kita, kekukuhan dan keanjalan sistem kesihatan kebangsaan yang kini menjadi institusi kritikal negara perlu dilindungi dan diperkasakan demi kedaulatan rakyat dan bangsa.

Menurut laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi, kebanyakan negara maju yang dapat mengurus wabak dengan baik mewujudkan kebertanggungan tinggi kepada nasihat kepakaran dan saintifik dalam merencana dan melaksanakan langkah intervensi.

Laporan ini memperjelaskan tiga cabaran utama yang perlu ditangani.

Bagi sektor kesihatan berteknologi tinggi, pemusatan tenaga kepakaran, para saintis dan pemikir lazimnya berlaku di pusat perubatan akademik yang mempunyai elemen hospital pengajar universiti bersama dengan institusi keilmuan dan penyelidikan di bawah fakulti-fakulti bidang-bidang berkaitan.

Apabila kehadiran infrastruktur dan organisasi ini digabungkan dengan sebuah ekosistem inovasi terbuka yang dinamik, golongan akademik dan saintis boleh berkolaborasi secara aktif bersama pihak industri secara mapan dan berimpak.

Terdapat keperluan merencana ekosistem inovasi terbuka yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan bukan bermotif keuntungan semata-mata.

Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita tidak mahu cukup setakat “menerobos, meminjam dan menciplak” tetapi perlu berusaha untuk mengaitkan kecemerlangan keilmuan, pengkhususan kepakaran, dan penguasaan teknologi baharu yang berpandukan kepada nilai kemanusian, keadilan dan keharmonian.

Ekosistem keilmuan dan inovasi terbuka pendidikan tinggi yang akan diwujudkan di Teknopolis Kesihatan UKM akan direncanakan secara teliti bagi menggarap kepandaian, pengalaman dan semangat tenaga pakar dan industri untuk menyelesaikan cabaran besar berkaitan masalah kesihatan seperti obesiti, penyakit tidak berjangkit, kanser, perubahan iklim dan masalah sosial yang memberi kesan kepada kesihatan dan kesejahteraan keluarga.

Namun begitu, ekosistem ini memerlukan pesakit yang terdiri dari golongan masyarakat. Maka perlulah bagi masyarakat keseluruhannya terbuka kepada pendekatan-pendekatan baharu dan rawatan terkini, dengan meningkatkan kecelikan kepada maklumat kesihatan dan juga kesedaran kepada keperluan menjaga kesihatan diri dan keluarga.

Justeru, para saintis, pakar dan seluruh tenaga kerja kesihatan perlu sentiasa menghormati dan melindungi hak pesakit dan waris agar kepercayaan dan keutuhan etika golongan warga kesihatan dan saintis tidak pernah tergugat.

Ini kerana pada hakikatnya, tanggungjawab melindungi kedaulatan negara bukan sahaja terletak di tangan golongan tertentu yang terpilih, tetapi di tangan semua individu dalam setiap lapisan masyarakat. –UTUSAN

  • Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid ialah Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur), Universiti Kebangsaan Malaysia
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.