PETALING JAYA: Seorang lelaki tergamak memukul bapanya menggunakan kerusi meja makan hanya kerana ditegur membaca doa berbuka puasa dengan laju di rumah mereka di Bandar Puncak Utama, Kajang dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, mangsa berusia 63 tahun cedera di dahi dan tapak tangan kanan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, punca kejadian disebabkan suspek berusia 34 tahun membaca doa dengan laju untuk berbuka puasa sebelum ditegur mangsa.
“Suspek yang tidak berpuas hati mengayunkan kerusi meja makan ke kepala mangsa sehingga kaki kerusi itu patah.
“Seorang daripada anak mangsa kemudian meleraikan pergaduhan itu dan menghubungi polis sebelum suspek ditangkap,” katanya semalam.
Mohd. Zaid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017 yang jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan penjara selama tempoh boleh sampai setahun atau denda yang boleh sampai dua ribu ringgit atau dengan kedua-duanya.
“Mahkamah membenarkan suspek ditahan reman tiga hari sehingga 27 Mac ini,” katanya. – UTUSAN










