Tarik lesen niaga majikan pecat pekerja tempatan

Tarik lesen niaga majikan pecat pekerja tempatan selepas ambil buruh asing

SYARIKAT atau majikan yang masih berdegil memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat tenaga kerja asing perlu ditarik baik lesen perniagaan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesa­tuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menarik lesen perniagaan terhadap majikan atau syarikat yang didapati memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat tenaga kerja asing.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung­nya, Kamarul Baharin Mansor berkata, amaran kerajaan untuk mengenakan tindakan denda sebanyak RM50,000 itu belum mencukupi.

Justeru, katanya, tindakan tarik lesen perniagaan itu perlu diambil sebagai satu pengajaran kepada pihak industri bahawa kerajaan boleh tarik lesen mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“MTUC sangsi dengan amaran kerajaan kerana masih ada lagi majikan yang gagal patuh kuat kuasa gaji minimum, sedangkan hukumannya lagi te­ruk yang mana mereka boleh dikenakan denda dan penjara.

“Oleh itu, sekiranya denda RM50,000 bagi setiap kesalahan Akta Kerja itu boleh menakutkan mereka, sudah tentu tak ada lagi majikan yang gagal patuh gaji minimum

“Jadi kita harap kalau boleh dikenakan tindakan sehingga tarik lesen perniagaan mereka kerana sudah menganiaya pekerja tempatan. Cuma ini memerlukan pindaan Akta Kerja,” katanya ketika dihubungi semalam.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membatalkan kelulusan kuota pekerja asing yang sudah diberikan kepada mana-mana majikan atau syarikat jika mereka didapati memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat tenaga kerja asing.

Menterinya, V Sivakumar me­negaskan, majikan atau sya­rikat itu juga boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan kerana bertentangan dengan Seksyen 60M Akta Kerja 1955.

Mengulas lanjut, Kamarul Baharin berkata, kerajaan juga diminta untuk melakukan pe­meriksaan berkala bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

Katanya, ini kerana pekerja sudah tentu takut mahu mela­porkan kerana khuatir diambil tindakan oleh pihak majikan.

Dalam masa sama, beliau juga mempersoalkan bagaimana kerajaan mahu menjustifikasikan pekerja tempatan yang dibuang untuk digantikan dengan pekerja asing dan bukannya atas alasan masalah disiplin.

Katanya, justifikasi itu pen­ting bagi mengelakkan majikan terlepas daripada hukuman se­kiranya memberhentikan pe­kerja tempatan atas alasan ko­nonya masalah disiplin.

“Contoh majikan akan bu­ang dan katakan bahawa dia buang pekerja tempatan kerana masalah disiplin. Majikan juga akan cakap mengambil dan membuang pekerja adalah hak majikan, jadi mereka boleh cari masalah disiplin pekerja tempatan untuk dijadikan alasan.

“Jadi bagaimana kerajaan ma­hu justifikasikan bahawa pembuangan pekerja itu adil atau tidak? Bagi MTUC cara paling bagus adalah kerajaan jangan bagi kelonggaran sewenang-wenangnya kepada majikan untuk mengambil pekerja asing.

“Apabila longgar sangat, maka masalah lain akan timbul. Penilaian perlu dibuat oleh kerajaan terhadap mana-mana syarikat yang memohon pekerja asing,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini