Tambang bas sekolah, makanan kantin naik

Tambang bas sekolah, makanan kantin naik

Ramai ibu bapa mengeluh dengan kenaikan tambang bas sekolah bagi sesi baharu Ahad dan Isnin ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tambang bas dan van sekolah dijang­ka naik RM5 hingga RM20 menjelang sesi pembukaan sekolah sesi 2023/2024 pada Ahad dan Isnin ini.

Selain tambang bas seko­lah, pengusaha kantin juga dijangka akan turut menaik­kan harga makanan ber­ikutan kenaikan kos bahan mentah.

Kenaikan tersebut dilihat memberi impak kepada perbelanjaan isi rumah B40 selaku pengguna majoriti perkhidmatan bas atau van sekolah kerana kedua-dua ibu bapa perlu bekerja selain tidak mempunyai kenderaan kedua untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Seorang ibu, Hasilah Rauf, 36, mengakui kenaikan tambang sebanyak RM10 daripada RM80 menjadi RM90 untuk seorang anak yang dimaklumkan oleh pengusaha bas sekolah baru-baru ini mengejutkan dia dan suami.

Dia yang mempunyai empat anak bersekolah terpaksa membelanjakan lebih RM300 sebulan hanya untuk tambang bas sekolah bagi sekolah kebangsaan dan agama.

“Saya tidak bekerja kerana mempunyai bayi. Jadi suami yang menanggung segalanya dan ketika dimaklumkan tentang kenaikan tambang van sekolah, kami terpaksa reda sahaja, jika tidak anak-anak sukar hendak ke sekolah.

“Agak tertekan dengan perbelanjaan untuk sesi sekolah kali ini. Semua barang harga naik dan saya juga ada ambil upah mengasuh anak orang untuk bantu suami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi Hadman Rizal, 40, pula, kenaikan tambang bas sekolah anaknya sebanyak RM20, daripada RM80 menjadi RM100.

Pihak pengusaha telah memaklumkan kenaikan harga itu sebelum cuti sekolah supaya ibu bapa lebih bersedia dengan kadar baharu tersebut.

“Mahu tidak mahu terpaksalah, jika tidak, tiada siapa yang mahu ambil dan hantar anak ke sekolah. Isteri juga bekerja, terpaksa berkorban wang sedikit untuk anak-anak dapat ilmu.

“Sekarang semua tiada yang murah, memang agak pening untuk sesi persekolahan kali ini kerana semua kos naik, terma­suk kelengkapan sekolah dan van sekolah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat mengakui kemungkinan peningkatan tam­bang dan pihak persatuan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan memandangkan ia mengikut harga pasaran dan keadaan semasa.

Jelasnya, ia juga bergantung kepada kenaikan harga alat ganti yang 90 peratus daripadanya diimport dan kejatuhan mata wang ringgit menyebabkan peningkatan harga barangan tersebut.

“Kita tidak dibenarkan campur tangan di bawah Akta Persaingan 2010, jadi setiap tempat yurannya berbeza-beza. Namun, peningkatan itu lebih kepada disebabkan peningkatan kos operasi seperti tayar, minyak hitam dan alat ganti,” katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pula terkilan dengan kenaikan harga tambang bas atau van sekolah yang disifatkan akan menekan mereka dalam persediaan pembukaan sekolah bagi sesi 2023/2024.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, ketika ini kumpulan ibu bapa sudah pun berdepan dengan peningkatan barangan persiapan sekolah.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengenakan kawalan dan pengawasan ketat dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan kenaikan yang dikenakan tidak ‘melampau’.

“Saya merasakan MOT dan KPM perlu masuk campur mengenai perkara ini, ‘kelampauan’ kenaikan tambang bas sekolah itu benar-benar munasabah. Kerajaan juga perlu pastikan dengan kenaikan itu, pelajar juga mendapat mutu perkhidmatan yang baik.

“PIBGN amat mengharapkan pemantauan dilakukan kepada mereka, iaitu secara mengejut dari masa ke semasa. Ini supaya pengusaha perkhidmatan tersebut sentiasa menjaga keselamatan pelajar seperti tiada kumpulan yang haram dan kenderaan digunakan memang layak berada di atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN