Sukar lupa lihat darah mencurah-curah belakang kepala ketua platun

Sukar lupa lihat darah mencurah-curah belakang kepala ketua platun

MOHAMMAD Noh Mansor menunjukkan sijil penghargaan diterimanya pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan di IPK Negeri Sembilan di Seremban, semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kejadian melihat ketua platun sendiri maut ditembak komunis di dahi adalah pengalaman yang masih segar dalam ingatan bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) yang berkhidmat sepanjang 36 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mohammad Noh Mansor, 73, berkata, peristiwa itu berlaku sekitar tahun 1970-an di Sungai Batang Rajang, Sarikei, Sarawak ketika dia bertugas sebagai anggota platun sedang berehat di kawasan hutan sebelum diserang hendap oleh Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU).

“Tidak sangka peristiwa yang berlaku di depan mata ini sukar dilupakan apabila saya tiba-tiba terdengar bunyi tembakan kemudian dapati Ketua Platun dikenali sebagai Sarjan Lee rebah.

“Ketika itu saya berada pada jarak empat meter. Saya dapat lihat tembakan pada dahinya dengan darah mencurah-curah keluar di belakang kepala,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini semalam.

Pada majlis itu, Mohammad Noh menerima Sijil Penghargaan Ketua Polis Negeri Sembilan daripada Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman atas sumbangan dan khidmat bakti yang dicurahkan.

Mohammad Noh, yang kini merupakan Exco Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM (PB Skuad 69) berterima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa menghargai jasa bekas polis yang berjuang menentang musuh meskipun sudah lama bersara.

“Kepada anak muda, hargailah keamanan dan keharmonian yang kita kecapi kini. Jangan sesekali lalai kerana musuh akan mengambil kesempatan sama ada secara fizikal atau mental,” katanya yang bersara pada 2005 sebagai Lans Koperal di IPK Seremban. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN